Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    PMKK perlu lebih inovatif

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN,13 SEPT – Dalam dunia yang semakin mencabar ini, penghulu mukim dan ketua kampung (PMKK) tidak ada pilihan kecuali bertindak mengikut perubahan dan tidak lagi boleh berterusan dalam lingkungan zon selesa dan sikap berpuas hati.

    “PMKK perlu bergerak maju ke hadapan dengan lebih inovatif dan kreatif bagi memberikan perkhidmatan yang berkualiti tinggi dan menepati cita rasa penduduk mukim dan kampung.”

    Perkara itu ditekankan oleh Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Abdul Walid bin Haji Matassan dalam ucapannya selaku tetamu kehormat pada Majlis Penyampaian Sijil Lantikan Penghulu-penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampung di Daerah Brunei dan Muara, hari ini.

    Terdahulu dalam ucapannya pada majlis yang berlangsung di Pejabat Daerah Brunei dan Muara itu, beliau turut mengongsikan struktur tadbir urus PMKK yang diselaraskan dengan perubahan Skim Perkhidmatan PMKK.

    Ini, jelasnya lagi, adalah untuk memastikan akan sentiasa ada kepimpinan yang bermutu lagi berkesan oleh PMKK sebagai teras kepimpinan di peringkat akar umbi.

    Penghulu Mukim Sengkurong, Haji Abdullah Hanif menerima sijil lantikan daripada Awang Abdul Walid pada majlis tersebut. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
    Tetamu kehormat menyampaikan sijil lantikan Ketua Kampung kepada salah seorang penerima. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya

    Ke arah merealisasikan urus tadbir yang cemerlang, jelasnya, ia memerlukan kepimpinan yang cekap dan berpandangan jauh dalam merangka hala tuju sesebuah mukim dan kampung.

    Selain itu, komitmen dan dedikasi pemimpin yang tinggi serta kerjasama yang padu di antara pemimpin iaitu PMKK dan mereka yang dipimpin iaitu penduduk mukim dan kampung adalah sangat penting.

    Beliau turut menyentuh mengenai Wawasan Brunei 2035 yang mana menurut beliau, ia bukanlah tanggungjawab tunggal kerajaan sahaja atau sesebuah kementerian atau jabatan malah ia merupakan tanggungjawab bersama semua rakyat dan penduduk Brunei.

    Ke arah bagi memastikan objektif yang telah ditetapkan dalam Wawasan Brunei 2023 ini tercapai, jelas beliau, setiap pihak yang terlibat dalam pelaksanaan program, projek dan inisiatif wawasan ini telah diberikan petunjuk prestasi utama (KPI). “Ini dengan memberikan fokus secara berperingkat-peringkat sepanjang tempoh pelaksanaan untuk mencapai wawasan ini,” jelasnya.

    Bagi mencapai Wawasan Brunei 2023 dan mengambil kira kepentingan peranan PMKK sebagai pemimpin di peringkat akar umbi untuk sama-sama mencapai Wawasan Brunei 2023, beliau berkata KHEDN sedang merangka kaedah penilaian prestasi berasaskan KPI.

    Beliau seterusnya menjelaskan, prinsip KPI meletakkan sasaran, boleh diukur dan dalam konteks PMKK ianya perlu diselaraskan dengan misi dan visi KHEDN.

    Selain itu, beliau turut menyeru kepada semua PMKK supaya sentiasa bersiap sedia untuk memikul peranan, tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

    “Ini sekali gus dapat menggerakkan usaha-usaha yang mendorong kepada perpaduan, persefahaman, kesejahteraan dan kemakmuran penduduk-penduduk,” ujarnya lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda