Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Menurut Banci Tahunan Perusahaan (ACE), perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terus menjadi batu asas ekonomi negara di mana ia merangkumi 97 peratus perniagaan di Negara Brunei Darussalam.
Sumbangan, inovasi dan daya tahan mereka kepada pembangunan ekonomi tidak boleh dipandang ringan, oleh itu, menjadi tanggungjawab kita selaku pihak berkepentingan dan pembela komuniti keusahawanan untuk menyemai sebuah persekitaran yang memupuk kemakmuran serta kemajuan mereka.
Di samping itu, ia juga untuk memastikan bahawa PMKS mempunyai akses kepada sumber dan kemahiran yang diperlukan bagi kelestarian dan pertumbuhan mereka, jelas Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi) dan Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) dan Darussalam Enterprise (DARe), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid dalam ucapan khas semasa Acara Enterprise Growth Connect (EGC) 2024 yang berlangsung di Serambi Suluh, Tarindak D’Seni, hari ini.
Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menerusi DARe selaku Badan PKS Kebangsaan, secara aktif menyokong pembangunan dan pertumbuhan sektor PMKS dengan memperkenalkan dasar dan inisiatif berpandu di bawah Pelan Tindakan Ekonomi Brunei Darussalam untuk menjadikan persekitaran Brunei lebih kondusif dan mesra perniagaan.
Ia termasuk memudahkan akses kepada pembiayaan, menyediakan program pembangunan dan latihan komprehensif, menawarkan kemudahan inkubasi, meningkatkan infrastruktur serta memudahkan akses kepada pasaran antarabangsa.

Dato Seri Paduka Haji Khairuddin menyatakan lagi bahawa PMKS merupakan penyumbang signifikan kepada penjanaan pekerjaan di Negara Brunei Darussalam yang merangkumi lebih 60 peratus jumlah pekerjaan keseluruhan dalam sektor swasta dan menyumbang kira-kira 40 peratus KDNK negara yang mengetengahkan kepentingannya dalam memupuk kelestarian dan daya tahan ekonomi.
PMKS juga berperanan dalam mempromosikan pertumbuhan inklusif dan mengurangkan ketidaksamaan pendapatan dengan menyediakan peluang-peluang bagi pembangunan kemahiran dan keusahawanan akar umbi, jelasnya lagi.
Beliau berkata, dengan mengintegrasikan perniagaan-perniagaan kecil dalam rantaian nilai perusahaan lebih besar, kita menjana hubungan simbiotik yang menjana manfaat bersama bagi kedua-dua belah pihak.
Bagi perusahaan kecil, integrasi seumpama itu, membuka pintu kepada kepakaran, sumber dan pasaran baru serta memupuk daya saing dan pertumbuhan mereka. Sementara itu, bagi perusahaan lebih besar, mereka dapat mempelbagaikan rantaian bekalan, akses kepada penyelesaian inovatif serta meningkatkan impak sosial mereka dengan menyokong pertumbuhan perniagaan-perniagaan lebih kecil.

