Wednesday, May 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    PMKS mampu rangsang pertumbuhan ekonomi

    Oleh Pg Fairol RMF

    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mac – Setakat 2015, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) merangkumi 96 peratus daripada jumlah 5,342 buah perusahaan tempatan, menurut laporan awal Banci Ekonomi Perusahaan atau Perniagaan Tahun 2016 dan turut menyumbang dalam lingkungan 35 peratus daripada hasil keseluruhan yang dijana oleh perusahaan tempatan.

    Di samping itu, perusahaan tempatan menjadi majikan penting dengan pengambilan sekitar 115,000 orang pekerja secara keseluruhan.

    “Maka, PMKS mampu menjadi pemberangsang kepada pertumbuhan ekonomi serta pembuka peluang-peluang pekerjaan baharu,” ujar Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein semasa berucap pada majlis pelancaran Pesta PMKS Brunei di Dewan Bridex, Jerudong, hari ini.

    Beliau seterusnya berkata, “Kita telah memasuki era global yang membawa cabaran-cabaran dan peluang-peluang baharu. Kedayatahanan perusahaan-perusahaan pada jangka panjang ini adalah bersandarkan kepada kemampuan untuk menembusi pasaran luar negara dan juga daya inovasi masing-masing,” jelasnya.

    Oleh itu, Yang Berhormat Dato menyeru semua pihak yang berkenaan termasuk Darussalam Enterprise (DARe), agensi-agensi berkepentingan, perusahaan tempatan dan ahli komuniti perniagaan tempatan, untuk mengimbas kembali titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny ketika berucap pada majlis pelancaran Pesta PMKS Brunei di Dewan Bridex, Jerudong.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny semasa diberikan penerangan.

    Beliau menyentuh titah Baginda Sultan pada persidangan khas pada 7 Februari 2018 agar kaedah-kaedah untuk meningkatkan hasil daripada pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana diperbaiki lagi.

    “Di samping galakan berupa promosi, pengusaha-pengusaha juga sangat perlu dibantu untuk memperkembangkan mereka. Bantuan lebih mustahak di sana ialah berupa bimbingan dan tunjuk ajar bagaimana memulakan dan kemudian menjalankan perusahaan itu sehingga berjaya. Ini mustahak kerana bukan semua pengusaha memiliki ilmu keusahawanan,” tekan beliau.

    Tambah Yang Berhormat Dato, inisiatif-inisiatif yang ada pada masa ini perlu dipertingkatkan lagi.

    “Sepertimana yang sedia maklum, tujuan badan Darussalam Enterprise (DARe) adalah bagi mendukung dan memacu pertumbuhan PMKS semata-mata. Ia merupakan tugas dan tanggungjawab mereka untuk memastikan semua PMKS yang ikut serta pada hari ini dan juga yang tidak berkesempatan untuk ikut serta, terus diberi bimbingan dan dikenal pasti jalan untuk menjayakan perniagaan masing-masing sehingga berkeupayaan untuk memperluaskan jaringan tempatan dan luar negeri sambil meningkatkan kedayatahanan masing-masing juga,” tekannya.

    Di samping menjalankan program-program sedia ada, ujar beliau, DARe perlu menjadi lebih prihatin terhadap keperluan PMKS tempatan dan menyesuaikan rancangan dan latihan-latihan kepadanya.

    Yang Berhormat Dato turut menyentuh mengenai titah Baginda Sultan sempena Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-15 Majlis Mesyuarat Negara baru-baru ini, yang mana perusahaan tempatan juga diseru bagi menaik taraf kualiti produk agar lebih berdaya saing pada meraih peluang-peluang daripada perdagangan tanpa sempadan.

    “Kita perlu berorientasi eksport dan global dalam menjalankan urusan-urusan perniagaan.

    “Pengeksportan dari sektor bukan minyak dan gas setakat tahun 2013 hanya menyumbang kira-kira 3 peratus daripada jumlah hasil daripada eksport Negara Brunei Darussalam. Pada masa yang sama, para peniaga digalakkan untuk tidak segan-segan merebut peluang-peluang dan khidmat dokongan yang ditawarkan oleh pihak kerajaan, pihak Darussalam Enterprise dan juga antara satu sama lainnya,” tambahnya.

    Yang Berhormat Dato turut melahirkan harapan agar para PMKS akan saling membantu antara satu sama lain sebagai ahli-ahli komuniti perniagaan tempatan supaya bersama-sama meningkatkan martabat dan sumbangan PMKS kepada negara.

    Menurut beliau, terdapat pelbagai barangan dan perkhidmatan tempatan yang unik dan setentunya, dipromosikan kepada pasaran sasaran yang tepat, akan dapat dimajukan sebagai produk dan perkhidmatan niche yang belum terdapat di mana-mana.

    Dalam pada itu Yang Berhormat Dato menekankan, pihak DARe dan para peniaga tempatan diharapkan untuk bergerak secara ‘whole of nation’ bagi menjayakan sektor perekonomian tumpuan negara iaitu sektor hiliran minyak dan gas, sektor pemakanan, sektor pelancongan, sektor perkhidmatan, dan sektor teknologi infokomunikasi atau ICT serta sektor pengeluaran.

    Setakat 2015, jumlah perusahaan yang berkecimpung dalam sektor-sektor ini masih di paras yang rendah. DARe turut digalakkan untuk memastikan bimbingan dan perkhidmatan diberikan juga merangkumi dokongan untuk menembusi bidang-bidang ini.

    Pihak kerajaan, tambah beliau, akan terus dengan sedaya upaya untuk menyediakan iklim perniagaan yang kondusif bagi perkembangan perniagaan tempatan, termasuk PMKS dan penyelesaian isu yang dihadapi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda