Friday, November 15, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    PMKS pupuk daya ketahanan ekonomi negara

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 FEB – Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memainkan peranan fundamental dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan memupuk daya tahan dalam ekonomi negara.

    Seperti yang dilaporkan dalam Annual Census Enterprise (ACE) 2023, PMKS merangkumi 97.6 peratus perusahaan aktif di Negara Brunei Darussalam di mana jumlah mereka yang bekerja dalam PMKS merangkumi 32 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja di Brunei.

    Sumbangan PMKS adalah jauh daripada hanya perniagaan, ia juga merupakan enjin inovasi dan penjanaan pekerjaan di mana pada 2020, PMKS juga telah memberikan sumbangan yang signifikan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) iaitu dianggarkan sebanyak 31.2 peratus.

    Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi) dan Timbalan Pengerusi Bersama Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) dan Darussalam Enterprise (DARe), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid dalam ucapannya semasa Majlis Perasmian Festival PMKS Brunei 2024 yang berlangsung di Dewan 1 BRIDEX, Jerudong, hari ini.

    Dalam ucapannya lagi, beliau menyatakan bahawa konsisten dengan tema acara, Dare to Transform: Building Sustainable MSMEs, Negara Brunei Darussalam komited untuk mencapai agenda 2030 bagi matlamat pembangunan mampan selaras dengan Wawasan Brunei 2035.

    Pengusaha di salah sebuah petak Festival PMKS Brunei 2024 bergambar ramai. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara petak jualan yang terdapat semasa Festival PMKS Brunei 2024. Antara yang terlibat bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Menurut Voluntary National Review 2023 (VNR 2023) Report for Brunei Darussalam, negara mencatat perkembangan baik dalam Matlamat 3 (Kesejahteraan dan Kesihatan Baik), Matlamat 4 (Pendidikan Berkualiti), Matlamat 6 ( Sanitasi dan Air Bersih), Matlamat 7 (Tenaga Bersih dan Mampu Dimiliki), Matlamat 8 (Pertumbuhan Ekonomi dan Pekerjaan yang Baik), Matlamat 14 ( Kehidupan di bawah Air) dan Matlamat 15 (Kehidupan di Darat).

    Walaupun kita mengorak langkah yang terpuji, ulas Dato Seri Paduka Haji Khairuddin, cabaran-cabaran masih kekal khususnya dalam bidang-bidang seperti pengeluaran dan penggunaan bertanggungjawab.

    Oleh itu, adalah menjadi satu kewajipan kepada kita untuk menangani cabaran-cabaran berkenaan secara sistematik, memanfaatkan inovasi serta bekerjasama bagi mendorong PMKS kita ke arah kemakmuran dan pertumbuhan mampan.

    Dalam hubungan itu, beliau menyatakan bahawa adalah tepat pada masanya bagi PMKS yang merupakan bahagian penting dalam landskap ekonomi negara, untuk menerima kemampanan sebagai asas operasi mereka serta berinovasi dengan amalan-amalan peka alam sekitar bagi memacu pertumbuhan perniagaan dan meningkatkan produktiviti serta pada masa yang sama menyumbang kepada kemakmuran ekonomi.

    Usaha itu, jelas beliau, antara lain, melaksanakan teknologi menjimatkan air dan cekap tenaga serta amalan pengurangan penggunaan, melaksanakan strategi bagi mengurangkan penghasilan sisa, memanfaatkan pembayaran tanpa tunai dan bekerjasama dengan pembekal yang mengamalkan amalan beretika dan mampan.

    Dato Seri Paduka Haji Khairuddin menyatakan bahawa strategi-strategi dan amalan berkenaan bukan sahaja akan mengurangkan jejak alam sekitar tetapi ia juga boleh membawa kepada penjimatan kos yang ketara, memupuk inovasi dan kecekapan sumber serta juga mereka peluang-peluang pasaran baharu dan membina kepercayaan dengan pihak yang berkepentingan dan pengguna.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda