Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS- Pasukan Bola Sepak Jabatan Perdana Menteri (PMO) menampilkan aksi mantap dan berjaya mengukuhkan kedudukan di puncak Kumpulan B selepas menewaskan pasukan Bola Sepak Kementerian Pendidikan (MOE) dengan jaringan 3-1 pada kejohanan Bola Sepak Piala Keputeraan 2025 di Padang dan Belapan, Berakas, kelmarin.
Pasukan PMO yang memulakan perlawanan dengan menampilkan serangan-serangan pantas di sebalik saingan yang diberikan pasukan MOE yang berhasrat untuk menghidupkan peluang selepas hampa pada perlawanan pertama.
Namun, Md. Faiz Hasnan tidak mahu menunggu lama untuk membawa pasukan PMO berada di hadapan apabila penyerang itu berjaya melepaskan kawalan pertahanan dan seterusnya memperdayakan penjaga gol pasukan MOE, Ampuan Saiful Riza Ampuan Haji Said di minit ke 6.
Sekalipun ketinggalan jaringan, barisan utama MOE tidak mudah mengalah dengan melakukan beberapa serangan ke kubu pertahanan PMO, namun asakan barisan serangan MOE gagal menembusi gawang lawan.
Penyokong MOE mula lega apabila Pengiran Haji Md Zulkarnain bin Pengiran Haji Ahmad berjaya melepaskan tandukan bola yang menerjah gawang PMO sekalipun terpaksa menunggu sehingga ke minit 34 untuk menyamakan kedudukan 1-1.
Pasukan PMO kembali ceria apabila Abd. Wadud Ramli membantu meletakkan pasukannya di depan dengan jaringan di minit ke 61 dan Aidil Eswandy Anak Akip pula melengkapkan kemenangan berharga buat pasukan PMO selepas memperolehi jaringan di masa kecederaan.
Sementara itu, pasukan Bola Sepak Kementerian Pertahanan (MINDEF) akur dengan kekalahan 1 – 5 kepada pasukan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) di Kompleks Sukan Batu Apoi, Temburong.
Md. Nur Al Hafiz Haji Hamidi memulakan pesta jaringan pasukan KHEDN di minit ke 7 sebelum Mohd Asnawi Syazmi Abdul Aziz menghadiahkan jaringan hatrik menerusi sentuhan di minit ke 36, 48 dan 86.
Sementara, Haji Sarifulbahri Haji Zainal mula melaksanakan sepakan penalti di minit ke 69 dan jaringan sagu hati pasukan MINDEF diperolehi menerusi jaringan Huzaimi Haji Tengah di minit ke 44.




