Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    PMR 2024 Sarawakku Sayang catat 300,000 pengunjung

    MIRI, 29 SEPT – Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Sarawakku Sayang yang diadakan selama tiga hari bermula Jumaat, mencatatkan kehadiran kira-kira 300,000 pengunjung.

    Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam satu kenyataan memaklumkan program yang diadakan di pekarangan sebuah pusat beli belah di sini, turut mencatatkan rekod nilai jualan mencecah RM500,000 untuk tempoh dua hari pertama penganjurannya.

    Kenyataan itu memaklumkan rekod nilai jualan tersebut, dicatat menerusi Jualan Agro dan Usahawan MADANI, Jualan Rahmah MADANI, Sarawak Kitchen, trak makanan, Telco Rahmah dan Coffee Corner.

    “Penganjuran PMR kali ini berjaya mencapai tujuan mendedahkan dan memperkenalkan pelbagai inisiatif kerajaan untuk menjamin kesejahteraan rakyat, terutamanya dalam mendepani isu kos sara hidup serta agenda negara dalam memperkasa golongan belia,” menurut kenyataan itu.

    PMR 2024 Sarawakku Sayang dianjurkan PETRA sebagai kementerian peneraju bersama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri serta Kerajaan Sarawak. 

    Dengan hasrat untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat, PMR 2024 Sarawakku Sayang membawakan lebih daripada 200 perkhidmatan kerajaan Persekutuan dan Sarawak, secara langsung kepada rakyat.

    Pada majlis perasmian semalam, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyempurnakan penyampaian sumbangan program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) kepada penerima daripada komuniti setempat yang terlibat dalam lima sektor tumpuan. – Bernama

    Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar kenangan bersama tetamu yang hadir pada program Madani Rakyat 2024, Sarawakku Sayang di Pekarangan Boulevard 28 September. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda