KOTA KINABALU, 5 MEI – Penganjuran Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah bertemakan ‘Menoktahkan Kemiskinan Melalui Keusahawanan’ membuktikan kerajaan amat komited dalam menangani isu kemiskinan tegar secara mampan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata penekanan dalam penganjuran PMR 2025 kepada memperkasakan rakyat melalui keusahawanan sebagai mekanisme strategik untuk membuka peluang pendapatan, mewujudkan pekerjaan dan menggalakkan mobiliti sosial dalam kalangan komuniti luar bandar serta golongan B40.
“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bertanggungjawab menyelaras, memangkin, memantau dan memastikan pelaksanaan PMR secara bersama dengan sekretariat induk iaitu Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri dan Kerajaan Sabah sebagai tuan rumah berjalan lancar.
“Melalui PMR, kerajaan menyediakan peluang kepada rakyat untuk datang berinteraksi dengan kerajaan, memberi input dan menyuarakan pandangan agar kerajaan dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik selaras Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
PMR 2025 Sabah akan diadakan di Dataran Majlis Perbandaran Tawau selama tiga hari mulai 9 Mei ini dengan majlis perasmian penutupnya disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2.30 petang, 11 Mei ini.
Ewon turut menyatakan “Usaha ini diharap dapat membuka ruang pekerjaan dan memperkasakan belia dengan kemahiran yang relevan serta diperlukan dalam pasaran kerja semasa.” – Bernama
