Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Brunei Darussalam (UBD) bagi sesi 2023/2024 telah dilantik dalam Majlis Pembubaran dan Pelantikan MPP Persatuan Mahasiswa dan Mahasiswi UBD (PMUBD) yang berlangsung di Bilik Senat, Dewan Canselor, UBD, hari ini.
Menerusi majlis berkenaan, ia menandakan pertukaran kepimpinan bagi PMUBD serta pembubaran MPP sesi 2021/2022.
Hadir bagi menyempurnakan pembubaran dan pelantikan MPP berkenaan ialah Pemangku Penolong Naib Canselor (Korporat dan Pentadbiran) UBD, Profesor Madya Pengiran Dr Mohammad Iskandar bin Pengiran Haji Petra.
Dekan Pelajar, Awang Saidai bin Haji Hitam dalam kata alu-aluannya menyatakan penghargaan kepada mantan MPP dan mengiktiraf perkhidmatan, sumbangan dan pengorbanan yang telah diberikan ke arah pembangunan PMUBD dan dalam merealisasikan visi serta misi PMUBD selaras dengan UBD, Futuring Together.
Pada majlis berkenaan, ahli-ahli MPP sesi 2021/2022 menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh Profesor Madya Pengiran Dr Mohammad Iskandar dan seterusnya menyempurnakan penyampaian surat lantikan kepada ahli-ahli MPP 2023/2024 sebelum menyaksikan mereka melafazkan ikrar majlis pelajar.
Presiden MPP, Awang Muhammad Hanan Falhan bin Haji Muhammad Dzulfan iaitu pelajar tahun kedua dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UBD turut menyampaikan ucapannya.
Pelantikan ahli-ahli MPP baharu itu memberikan pelajar berkenaan pengalaman dan pendedahan langsung mengenai bagaimana kepimpinan pelajar beroperasi dalam sebuah universiti dan untuk membangunkan kemahiran interpersonal yang relevan dalam peranan mereka sebelum memulakan perjalanan sebagai pemimpin masa hadapan negara.
Kempen lantikan MPP diadakan setiap tahun di mana calon-calon yang berjaya perlu melalui Kursus Kepimpinan.
Kursus berkenaan antara lain memberikan pengenalan mengenai fungsi Bahagian Hal Ehwal Pelajar, PMUBD dan majlis berkenaan serta bagaimana mereka secara kolektif dapat bekerjasama untuk menyokong inisiatif-inisiatif strategik UBD.
Di samping itu, mereka turut mempelajari mengenai Perlembagaan PMUBD, kualiti-kualiti kepimpinan, keagamaan, prosedur pentadbiran UBD dan peraturan serta prosedur kewangan.
Aktiviti-aktiviti pembinaan pasukan juga diadakan sebagai sebahagian daripada kursus berkenaan untuk mengukuh-kan lagi ikatan mereka sebagai sebuah pasukan.