KUALA LUMPUR, 1 Jan – Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan meningkatkan pendedahannya kepada pelaburan swasta dalam dan luar negara bergantung kepada peluang yang sesuai, kata Pengerusinya, Tan Sri Abdul Wahid Omar.
Beliau berkata ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan PNB bagi peruntukan aset strategiknya untuk meningkatkan pulangannya dan dalam lingkungan toleransi risikonya.
Dalam Perutusan Tahun Baru kelmarin, Wahid berkata, PNB akan melibatkan syarikat-syarikat terasnya yang ia memiliki sekurang-kurangnya 10 peratus pemegangan saham, atau RM1 bilion dalam nilai, untuk memacu prestasi yang lebih baik.
“Penting bagi korporat Malaysia untuk meningkatkan pertumbuhan pendapatan mereka bagi menjana jumlah pulangan pemegang saham (TSR) yang lebih tinggi.
“Konsensus pertumbuhan pendapatan syarikat-syarikat tersenarai 2017 pada 5.7 peratus adalah di bawah jangkaan terdahulu kita.
“Walaupun unjuran pertumbuhan pendapatan 2018 adalah tinggi pada 6.9 peratus, menjadi harapan kami dengan strategi dan pelaksanaan yang betul, pertumbuhan pendapatan korporat akan lebih tinggi,” katanya.
Satu isu besar adalah kekurangan saham atau instrumen ekuiti patuh Syariah dalam perkhidmatan kewangan, katanya.
“Kita semua tahu kepentingan sektor perkhidmatan kewangan bagi mana-mana pembangunan negara.
“Walaupun kejayaan Malaysia sebagai peneraju global dalam kewangan Islam, secara efektifnya terdapat hanya tiga syarikat senaraian awam yang patuh Syariah – BIMB Holdings Bhd, Syarikat Takaful Malaysia Bhd dan Malaysia Building Society Bhd – dengan gabungan permodalan pasaran sebanyak RM15 bilion,” katanya. – Bernama