KUALA LUMPUR, 6 Nov – Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengambil pendekatan bersifat oportunis dalam menentukan hala tuju pelaburan antarabangsanya untuk memastikan pendeposit mendapat pulangan yang tinggi.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata kumpulan itu kini sedang mengkaji pasaran yang sesuai, termasuk Amerika Syarikat, Eropah, ASEAN dan Asia Utara, selain masa yang sesuai untuk meningkatkan pelaburan antarabangsanya, yang agak rendah pada masa ini.
“Ketika ini, sebanyak 98 peratus daripada pelaburan kami adalah di Malaysia. Ternyata, bagi jangka masa panjang, kami mahu pelaburan antarabangsa sebanyak 2.0 peratus berada pada tahap yang lebih tinggi, tetapi kami mengambil pendekatan yang bersifat oportunis, dan ia perlu tertakluk kepada peluang pelaburan yang tepat dan pada masa yang tepat.
“Kami turut memantau kadar pertukaran dengan teliti berikutan kami mahu melabur semasa ringgit benar-benar kukuh.
“Jika anda melabur semasa ringgit lemah, apabila ia kemudian mengukuh pulangan anda akan menjadi rendah. Ia adalah perkara yang kami mahu elak,” katanya kepada Bernama ketika hadir sebagai tetamu pada program Biztalk Bernama News Channel, di sini baru-baru ini.
Dari segi potensi pasaran antarabangsa bagi ekuiti dan hartanah, katanya destinasi pelaburan adalah dalam pasaran yang lebih maju dan stabil yang PNB lebih mengetahui dan selesa untuk melabur.
Sementara itu, mengenai dana sebanyak RM500 juta bagi komuniti India yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2018, katanya PNB gembira dapat bekerjasama dengan jabatan ekonomi khas bagi masyarakat India untuk memulakan dana tersebut.
“Dari segi maklumat (mengenai dana tersebut), ia akan diumumkan oleh Unit Khas Program Pembangunan Sosio-Ekonomi Masyarakat India (SEDIC). Jelas sekali, kami berharap ia (dana tersebut) dapat dilaksanakan pada Januari tahun depan,” katanya.
Mengenai pelan untuk mengurangkan aset di bawah pengurusan secara tunai kepada 15 peratus, Abdul Wahid berkata tiada tempoh ditetapkan apabila kumpulan akan mencapai tahap tersebut berikutan pengurangan tunai amat bergantung kepada ketersediaan peluang pelaburan dalam semua kelas aset yang lain.
“Ini (mengurangkan tunai) menjadi sebahagian daripada usaha kami untuk mengoptimumkan peruntukan aset kami dan sebahagian daripada matlamat kami untuk meningkatkan pulangan kami secara mampan. Sejak Ogos (tahun ini), kami telah mengurangkannya (tunai) kepada 19 peratus daripada 20 peratus.
“Ia merupakan proses yang secara berperingkat dan dana ini telah digunakan lebih kepada instrumen pendapatan tetap, pelaburan swasta dan hartanah,” katanya. – Bernama