Sunday, May 11, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    PNG dilanda gempa bumi lagi

    SYDNEY, 30 Mac – Gempa bumi kuat dengan ukuran magnitud 6.9 melanda pulau New Britain, Papua New Guinea (PNG), awal pagi tadi, namun amaran tsunami akibat gegaran itu dihentikan, menurut jurucakap pakar seismologi Amerika Syarikat (AS).

    Gempa bumi itu berlaku pada jam 5:25 pagi waktu tempatan dan kira-kira 162 kilometer dari Rabaul, sebuah bandar di pulau New Britain.

    Ia pada awalnya direkodkan pada kedalaman cetek 10 kilometer, sebelum ia disemak semula oleh Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS) kepada kedalaman 35km.

    Pusat Amaran Tsunami Pasifik pada awalnya berkata gelombang tsunami ‘berbahaya’ mungkin dihasilkan daripada gempa bumi itu dan ia mungkin mencapai 0.3 hingga 1 meter di atas paras pasang surut laut di beberapa kawasan pantai PNG.

    Ia berkata gelombang yang lebih kecil juga boleh melanda Kepulauan Solomon, namun menambah kemudian bahawa ‘ancaman tsunami daripada gempa bumi itu telah berakhir’.

    “Ia dirasai sejauh Kokopo (150 kilometer dari pusat gempa bumi),” kata ahli seismologi Geosains Australia, Spiro Spiliopoulos kepada AFP mengenai gegaran itu.

    Menurutnya lagi, tiada laporan kerosakan daripada gempa itu pada peringkat ini, sambil menambah kata bahawa kawasan yang terjejas jauh daripada kawasan bandar.

    Gempa bumi itu berlaku diikuti oleh dua gegeran kecil yang kuat, berukuran 5.3 dan 5.1 pada kedalaman 3km, menurut USGS.

      Kejadian itu juga berlaku diikuti oleh gempa pada kadar 5.8 magnitud di tempat berasingan kira-kira 43 kilometer dari barat Honiara, ibu kota Kepulauan Solomon, yang melanda pada jam 6:51 pagi waktu tempatan pada kedalaman 10km.

    Di rantau itu gempa bumi memang sentiasa berlaku dan PNG sedang duduk di kawasan yang merupakan terdedah dengan aktiviti seismos akibat geseran antara plat tektonik.

    PNG dilanda gempa bumi 7.5 magnitud pada 26 Februari yang menguburkan rumah dan mencetuskan tanah runtuh di rantau dataran tinggi, membunuh sekurang-kurangnya 125 orang. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda