LONDON, 7 Mei – Mauricio Pochettino mencabar Tottenham untuk merebut peluang yang tidak disangka-sangka mereka ini bagi mencipta sejarah ketika mereka cuba menterbalikkan defisit 1-0 ke atas Ajax dalam saingan kedua separuh akhir Liga Juara-Juara Khamis ini.
Pochettino yakin bahawa Tottenham masih boleh mara ke final Liga Juara-Juara meskipun tewas dalam perlawanan pertama di laman sendiri minggu lepas.
Kebanyakan pengulas dan penyokong mendakwa Spurs telah mensia-siakan peluang selepas jaringan Donny van de Beek memberikan Ajax kelebihan bermakna untuk dipertahankan di Amsterdam.
Spurs memasuki perlawanan terbesar mereka dalam tempoh beberapa dekad dengan kurang meyakinkan selepas tewas 1-0 di Bournemouth Sabtu lalu.
Ia adalah kekalahan ketiga berturut-turut dalam semua persaingan buat Spurs, yang menamatkan perlawanan dengan sembilan pemain setelah kad merah ke atas Son Heung-min dan Juan Foyth.
Namun Spurs bernasib baik kerana mereka boleh dikatakan sudah pasti menamatkan di kedudukan empat teratas selepas Arsenal dan Manchester United masing-masing meraih keputusan seri.
Tottenham tiga mata di depan pasukan di tangga kelima, Arsenal, menuju perlawanan liga terakhir menentang Everton Ahad ini, di mana seri sudah memadai bagi memastikan kembalinya mereka ke kejohanan elit Eropah itu.
Tetapi sebelum itu, Tottenham perlu memberikan tumpuan sepenuhnya dalam memberi cabaran kepada pasukan muda Ajax.
Setelah menyingkirkan Real Madrid dan Juventus musim ini, Ajax telah menunjukkan potensi besar mereka ketika aksi pertama separuh akhir dan kini mempunyai kelebihan satu gol ke atas Spurs. – AFP