MADRID, 2 JUN – Mauricio Pochettino terus mengelak mengenai masa depannya sebagai pengurus Tottenham Hotspur selepas pasukannya tewas di final Liga Juara-Juara kepada Liverpool awal pagi tadi.
Pengurus dari Argentina itu dikaitkan dengan satu perpindahan ke juara Itali, Juventus dan gergasi Jerman, Bayern Munich tetapi memberikan gambaran bahawa dia akan cuba menerajui Spurs bagi satu lagi final selepas kekalahan 2-0 di Madrid.
“Apabila anda mengalami pengalaman ini anda mahu melakukannya lagi. Saya harap kami dapat melakukannya lagi di masa hadapan.
“Ia adalah mengenai mencuba, percaya, membina pasukan dan saya harap ia akan berlaku lagi secepat mungkin,” kata Pochettino kepada BT Sport.
Spurs ketinggalan disebabkan penalti Mohamed Salah tidak lama selepas sepak mula tetapi Spurs adalah pasukan yang lebih baik selepas rehat, sebelum Divork Origi menjaringkan gol kedua.
Pochettino sudah menyatakan bahawa dia mahu kejelasan mengenai cita-cita Spurs sebelum bermulanya musim hadapan dan berkata bahawa dia sedang mengadakan perbincangan dengan kelab itu.
“Kini sudah tiba masanya untuk bertenang, menukar mood, pastinya kami mempunyai masa untuk berbincang,” katanya.
“Ketika ini bukan masanya untuk bercakap banyak. Anda boleh salah penerimaan dalam banyak cara. Orang lain mahu membandingkan saya dengan pengurus-pengurus lain tetapi mereka tidak tahu bahawa kami mempunyai projek yang berbeza di kedudukan dan tempat yang berbeza. – AFP
