LONDON, 30 Dis – Mauricio Pochettino menyatakan Tottenham bermain sepenuh hati tetapi tidak menggunakan akal selepas kelab kendaliannya mensia-siakan peluang meningkatkan tekanan terhadap pendahulu Liga Perdana, Liverpool susulan kekalahan mengejut 1-3 kepada Wolves, semalam.
Rekod lima kemenangan berturut-turut liga digabungkan dengan kekalahan Manchester City menyaksikan Spurs merampas kedudukan kedua liga, ketinggalan enam mata di belakang Reds menuju perlawanan hujung minggu ini.
Namun kelab London itu – yang menjaringkan 11 gol dalam dua aksi musim perayaan – dilanda kekecewaan selepas gagal melakar kemenangan keenam sekalipun penyerang, Harry Kane terlebih dulu meletakkan tuan rumah di depan pada separuh masa pertama.
Aksi babak kedua berlangsung sebaliknya apabila Spurs tampak kehilangan fokus dan pasukan pelawat yang bekerja keras bangkit menerusi gol menerusi Willy Boly, Raul Jimenez dan pemain gantian Helder Costa.
“Saya fikir kami dapat mengawal permainan pada separuh masa pertama perlawanan,” kata Pochettino. “Mungkin ia lebih mudah daripada yang kami jangkakan pada awal perlawanan untuk mendominasi permainan dan bermain dengan amat mudah.
“Mereka menampilkan corak bertahan, mengejar kami. Kami juga tidak melengkapkan satu peluang. Tapi pada babak kedua, saya fikir kami mula merasa perlawanan sudah berakhir dan apabila anda berasa sebegitu, sukar buat anda bermain dengan cara sendiri.
“Anda mula menggunakan jalan yang salah, mula bermain bola hantaran jauh terlalu banyak dan bermain dengan hati tanpa berfikir. Kami mula menghabiskan banyak tenaga.
“Tidak mencukupi untuk sekadar bermain selama 60, 70 minit. Anda perlu memberikan yang terbaik selama 95 minit. Seperti hari ini, kami mensia-siakan tenaga dan fokus dan pada 20 minit terakhir kami melepaskan tiga gol.” – AFP
