Pochettino terdesak buru trofi

LONDON, 12 Feb – Pengendali pasukan Tottenham Hotspurs, Mauricio Pochettino berdepan saat penting apabila skuadnya memburu bagi meraih trofi utama menjelang kunjungan Borussia Dortmund dalam saingan Liga Juara-Juara pagi Khamis ini.

Pengendali dari Argentina itu mengaku bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan lima musim untuk menjulang gelaran di Tottenham namun tetap menegaskan untuk terus berentap dengan pasukan elit di peringkat Eropah.

Namun dengan pengakuannya bahawa melayakkan diri di Liga Juara-Juara adalah sasaran utamanya, kenyataan itu tidak selaras dengan pencapaiannya apabila mereka tidak pernah melakukannya ke peringkat akhir saingan.

Skuad Pochettino tidak pernah melepasi peringkat 16 terbaik sama ada dalam kancah Liga Juara-Juara mahupun Liga Europa sejak mengendali Spurs pada Mei 2014.

Kini anak buah Pochettino berdepan pendahulu Bundesliga, Dortmund yang akan berada di Wembley dan ini juga mungkin sentuhan terakhirnya musim ini bersama kelab utara London itu. Ini kerana Pochettino, meskipun dia belum pernah memenangi trofi dalam kerjayanya, dia masih merupakan calon hangat yang dikaitkan akan membimbing Manchester United pada penghujung musim ini.

Pochettino ketika mengarahkan anak buahnya semasa saingan Liga Perdana Inggeris antara Tottenham dan Leicester di Wembley pada 10 Februari 2019. – AFP

Meskipun Ole Gunnar Solskjaer makin menunjukkan taringnya di Old Trafford, Pochettino kekal diintai banyak kelab handalan lain termasuk Real Madrid yang kini turut dikaitkan untuk melamarnya.

“Kami semua berasa bangga dengan pencapaian yang kami lakukan, prestasi skuad ini amat menakjubkan,” kata Pochettino.

“Kami menyerlahkan karakter ketika berdepan pasukan handalan dengan kualiti yang sangat bagus dan berjaya merapati kedudukan setanding mereka.

“Kami berharap dapat meneruskan rentak kemenangan dan terus memburu kemenangan besar selepas ini,” tambahnya.

Meskipun Spurs mengecapi banyak kemajuan sejak dibimbing Pochettino, namun mereka masih diselubungi kebimbangan mengenai peluang pasukan itu selepas hanya menjulang tiga trofi dalam tempoh 28 tahun lalu. – AFP