ROUEN, 9 JULAI – Tadej Pogacar meluncur laju meninggalkan pencabarnya dalam penamat penuh debaran untuk memenangi peringkat keempat Tour de France di Rouen kelmarin, sekali gus mencatat kemenangan profesional ke-100 dalam kariernya.
“Itu benar-benar satu penamat klasik gaya Tour de France yang meletup,” kata Pogacar yang jelas teruja dengan kejayaan tersebut.
Kemenangan itu bagaimanapun belum cukup untuk memberikannya jersi kuning pendahulu keseluruhan. Pelumba handalan Belanda, Mathieu van der Poel, menamatkan saingan di tempat kedua dan mengekalkan jersi kuning itu.
Pogacar melancarkan serangan mendaki ke garisan penamat untuk mengatasi Van der Poel dengan Jonas Vingegaard di tempat ketiga.
Ini merupakan kemenangan peringkat ke-18 Pogacar di Tour de France, ketika pelumba Slovenia berusia 26 tahun itu memburu gelaran juara keseluruhan buat kali keempat.
“Terdapat adrenalin yang tinggi dan saingan yang sengit,” kata Pogacar.
Para peminat sekali lagi disajikan dengan pertarungan satu lawan satu antara Pogacar dan Vingegaard apabila lima bukit menjadikan 40km terakhir perlumbaan sangat mencabar.
Van der Poel turut menyertai persaingan dan mengekalkan kedudukan pendahulu keseluruhan yang diambilnya daripada rakan sepasukan Alpecin, Jasper Philipsen, yang terpaksa menarik diri akibat kecederaan selepas kemalangan teruk pada Isnin. – AFP
