LONDON, 20 Feb – Kunjungan Manchester United dalam Liga Juara-Juara ke Sevilla awal Rabu ini ialah pertembungan utama buat gergasi Liga Perdana Inggeris itu yang terpaksa menelan rasa malu untuk membeli semula Paul Pogba dengan nilai 89 juta pound, empat tahun selepas dia meninggalkan Old Trafford ke Juventus sebagai pemain bebas.
Walau bagaimanapun, masih belum pasti sama ada pemain tengah Perancis itu akan memulakan saingan di Sanchez Pizjuan bagi perlawanan pertama kelompok 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara berikutan masalah kecergasan.
Pogba masih belum pernah bermain 90 minit dalam tempoh sebulan ini apabila dikeluarkan Jose Mourinho ketika tewas di tangan Tottenham dan Newcastle selain tidak bermain ketika menang mengatasi Huddersfield di Old Trafford.
Laporan akhbar Perancis muncul minggu lalu bahawa Pogba tidak gembira dengan peranan diberikan Mourinho kepadanya, terutama untuk bertahan seperti yang dimahukan oleh jurulatih dari Portugal itu.
Mourinho mengatakan Pogba sudah pasti mengisi tempat kegemarannya di sayap kanan dalam kalangan tiga pemain tengah bagi saingan Piala FA yang dimenangi mereka Sabtu lalu menentang Huddersfield sekiranya dia tidak diketepikan sejam sebelum perlawanan kerana kesakitan.
Kehadiran Alexis Sanchez di kiri serangan United pada Januari menambah parah perbezaan itu ketika Pogba dan penyerang Chile itu masih belum bermain bersama selama 90 minit.
Mourinho menggambarkan khabar angin wujudnya masalah komunikasi antaranya dan Pogba sebagai ‘pembohongan besar’,namun tidak menyembunyikan kritikan terhadap prestasi pemain berusia 24 tahun itu. “Pada ketika ini dia tidak bermain baik dan pasukan perlukannya pada tahap terbaik,” kata Murinho.
Lebih buruk, dalam tempoh beberapa minggu antara dua pertemuan Untited dengan Sevilla, mereka juga akan menanti kehadiran Chelsea dan Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris dengan ketiga-tiga pasukan terikat dalam pertarungan bagi berada dalam kelompok empat pasukan teratas. “Apabila dia tidak bermain pada tahap terbaik, pasukan juga tidak berada dalam keadaan baik seperti sepatutnya,” kata Mourinho.
“Saya rasa ia berlaku terhadap semua pasukan apabila pemain terbaik, pemain paling penting, untuk sebarang sebab tidak beraksi dengan baik.” – AFP