LONDON, 4 OGOS – Pengendali Manchester United Ole Gunnar Solskjaer yakin midfield Paul Pogba akan terus memberikan komitmennya kepada Red Devils.
Pemain antarabangsa Perancis itu ‘hilang’ daripada skuad ketika United mengatasi AC Milan menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi pra musim di Cardiff, semalam.
Bagaimanapun, Solskjaer menegaskan ketiadaan pemenang Piala Dunia itu adalah disebabkan dia mengalami sakit belakang.
Ditanya sama ada Pogba akan terus kekal bersama United, Solskjaer berkata, “Saya tidak pernah meraguinya.
“Saya memang tidak berharap dia akan menyertai kami untuk ke Cardiff. Saya bercakap dengannya selepas menjalani latihan dan dia berasa tidak selesa.
“Paul akan kembali menjalani latihan minggu depan. Ia bukan kecederaan cuma dia berasa sedikit kesakitan.
“Kami tidak mahu mengambil sebarang risiko minggu ini dan dia dijangka cergas untuk pertemuan dengan Chelsea minggu depan,” kata Solskjaer. – AFP
