MONACO, 29 JUN – Paul Pogba telah menandatangani perjanjian dua tahun bersama kelab Ligue 1, Monaco, untuk kembali bermain bola sepak selepas hampir dua tahun tidak beraksi, umum kelab itu kelmarin.
Pemain yang memenangi Piala Dunia 2018 itu hanya membuat 12 penampilan sepanjang tiga musim lepas kerana kecederaan, kesalahan doping selama 18 bulan dan kes peras ugut di mana dia menjadi mangsa.
Pogba gagal dalam ujian dadah pada Ogos 2023 selepas perlawanan bersama pasukan Juventus dan telah dibenarkan untuk kembali bermain bola sepak sejak Mac, walaupun kontraknya dengan gergasi Itali itu telah ditamatkan tahun lalu.
Pemain tengah itu kini akan bermain di Ligue 1 buat kali pertama dalam kerjaya profesionalnya.
“Saya berazam untuk kembali ke padang, bersedia dari segi mental, fizikal, ia hanya menunggu masa,” kata pemain berusia 32 tahun itu kepada televisyen Perancis hujung minggu lalu.
Pogba bermain dalam pasukan remaja, Le Havre, sebelum menandatangani kontrak dengan Manchester United pada 2009.
Dia hanya membuat beberapa penampilan bersama pasukan utama untuk juara Eropah tiga kali itu sebelum menyertai Juventus pada 2012.
Pogba memenangi empat kejuaraan Serie A berturut-turut di Turin sebelum menyertai semula United dengan bayaran rekod dunia ketika itu sebanyak 105 juta euro (AS$123 juta).
Dia kembali ke Juventus tiga tahun lalu tetapi bergelut dengan beberapa siri kecederaan.
Pogba telah menjaringkan 11 gol dalam 91 penampilan untuk pasukan kebangsaan Perancis, memainkan peranan utama dan menjaringkan gol dalam kemenangan final Piala Dunia ke atas Croatia tujuh tahun lalu. – AFP
