Tuesday, December 31, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pogba rela dipotong gaji untuk kembali bermain

    ROM, 17 OKT – Paul Pogba menegaskan hasratnya untuk kembali beraksi bersama Juventus, walaupun terpaksa menerima pemotongan gaji, selepas digantung akibat kes doping. Kenyataan itu dibuat pemenang Piala Dunia Perancis itu dalam wawancara bersama La Gazzetta dello Sport, kelmarin.

    “Saya sanggup melepaskan wang asalkan dapat bermain semula dengan Juventus. Saya mahu kembali bersama kelab ini,” kata Pogba.

    “Realitinya, saya ialah pemain Juventus dan saya sedang bersedia untuk bermain untuk Juve,” tambahnya.

    Kontrak Pogba bersama kelab gergasi Itali itu akan berakhir pada Jun 2026 dan ketika ini bernilai €8 juta setahun.

    Sepanjang penggantungannya yang masih berjalan, pemain tengah tersebut hanya menerima gaji minimum yang ditetapkan dalam perjanjian kolektif Serie A, iaitu sedikit lebih daripada €2,000 sebulan.

    Walaupun larangan Pogba telah dikurangkan, media Itali melaporkan bahawa Juventus tetap ingin menamatkan kontraknya.

    Pogba, yang pernah bersama Manchester United, berkata, “Saya akan kembali sebagai Pogba yang baharu, yang lebih bijak, dan lebih kuat. Saya hanya mahu bermain bola sepak.”

    Hukuman larangan empat tahun Pogba kerana doping dikurangkan kepada 18 bulan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada Oktober lalu. Beliau dijangka kembali beraksi pada 11 Mac tahun hadapan, hanya empat hari sebelum ulang tahunnya yang ke-32.

    Pogba didapati positif menggunakan testosteron pada Ogos 2023 selepas perlawanan antara Juventus dan Udinese di Itali. Beliau digantung sementara pada September 2023 sebelum dikenakan larangan empat tahun oleh Tribunal Anti-Doping Kebangsaan Itali pada Februari 2024.

    Wakil Pogba menjelaskan bahawa bahan testosteron itu berpunca daripada suplemen makanan yang diberikan oleh seorang doktor di Amerika Syarikat. – AFP

    Aksi Pogba semasa perlawanan separuh akhir kedua Piala Itali di stadium Giuseppe-Meazza (San Siro) di Milan pada 26 April 2023. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda