Oleh Salawati Haji Yahya –
ARAB SAUDI, 28 JUN – Pintu keampunan dan keredaan Allah SWT dibuka seluas-luasnya pada hari Arafah, dan selaku hambaNya yang penuh dengan dosa dan maksiat, wajarlah memperbanyakkan memohon keampunan dan keredaanNya.
Hari Arafah juga merupakan hari yang doa di dalamnya tidak seperti doa pada hari-hari yang lain, kerana sebaik-baik doa ialah doa pada hari Arafah.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Penolong Mufti (Ifta’), Dato Seri Setia Dr Haji Dennie bin Haji Abdullah dalam khutbah hari Arafah, di Arab Saudi, kelmarin.
Beliau seterusnya mengongsikan bahawa disunatkan untuk membanyakkan doa dan zikir pada hari Arafah.
“Kelebihan dan keistimewaan hari Arafah juga boleh dilihat daripada ganjaran berpuasa pada hari tersebut yang hanya disunatkan ke atas orang-orang yang tidak mengerjakan haji iaitu ganjaran dosa dihapuskan setahun sebelumnya dan setahun selepasnya,” katanya.
“Itulah ganjaran yang Allah SWT kurniakan kepada orang yang tidak mengerjakan haji, hanya dengan berpuasa di hari itu sahaja.
“Tetapi bagi orang yang berwuquf di Arafah yang mengerjakan ibadah haji dan mendapat haji yang mabrur, ganjarannya pula ialah semua dosanya terhapus seperti hari dia baru dilahirkan oleh ibunya,” tambahnya.
Beliau turut mengongsikan, “Jika malam Lailatulqadar adalah sebaik-baik malam, maka hari Arafah pula adalah sebaik-sebaik siang. Oleh yang demikian, rebutlah peluang kelebihan dan keistimewaan hari Arafah, terutama bagi yang berada di bumi Arafah, dengan berdoa, berzikir, bertasbih, bertahmid, bertahlil, bertakbir, beristighfar, bertalbiah, membaca Al-Quran dan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, sehinggalah kita meninggalkan bumi Arafah ini.”
Selain itu, beliau turut mengingatkan agar tidak lalai oleh perkara-perkara lain, kerana Arafah ini tempat yang penting dan tempat perhimpunan yang agung.