HUSTOPECE, 22 MAC – Kebun badam yang jarang ditemui di Republik Czech menyaksikan keindahan bunga putih dan merah jambu yang mekar lebih awal daripada kebiasaannya, selepas musim sejuk yang paling panas dalam rekod.
Badam biasanya antara pokok yang pertama mekar pada permulaan musim bunga, dari bulan Mac hingga April, di kawasan tenggara negara Eropah Tengah itu.
Namun, ramai orang datang untuk menyaksikan keindahan barisan pokok berbunga di tempat yang paling tidak dijangka dua minggu lebih awal pada tahun ini.
Kawasan penanaman badam termasuk California, negara-negara di sekitar Laut Mediterranean, Chile dan Australia. Tetapi, Republik Czech dengan iklim sejuknya merupakan pengecualian.
Musim sejuk yang sederhana tidak menimbulkan risiko kepada bunga di kawasan itu, tetapi suhu yang beku adalah yang berbahaya.
“Ia benar-benar bukan sesuatu yang luar biasa,” kata Katerina Kopova pada Selasa mengenai pokok yang berbunga awal itu.
Kopova ialah pemilik firma keluarga tempatan yang menghasilkan pelbagai produk daripada badam, termasuk minuman beralkohol dan bukan alkohol, serta membantu mengekalkan dan membangunkan kebun tersebut.
“Kami mempunyai situasi yang sama lima tahun lalu. Tetapi sudah tentu, terdapat risiko fros,” katanya. “Hari ini, kami bimbang kerana ramalan suhu di bawah sifar dan beberapa kawasan di bawah takat beku tidak akan mendatangkan hasil,” tambahnya. – AP
