Monday, October 28, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pokok di bandar lebih berisiko tumbang

    Gambar Bernama

    KUALA LUMPUR – Insiden pokok tumbang yang semakin kerap berlaku sejak belakangan ini meresahkan masyarakat, lebih-lebih lagi apabila ada kejadian yang meragut nyawa.

    Ditambah pula faktor cuaca yang semakin tidak menentu dengan hujan lebat dan ribut kencang melanda tanpa diduga, meningkatkan lagi risiko kepada masyarakat terutama pengguna jalan raya, memandangkan kebanyakan kejadian melibatkan pokok yang ditanam, terutama di tepi jalan.

    Amnya, statistik kes pokok tumbang menunjukkan peningkatan di seluruh negara. Pada 2021, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melaporkan 3,081 kes dan meningkat kepada 3,358 kejadian pada tahun berikutnya. Bagi tahun ini pula, sebanyak 499 kes dilaporkan hanya dalam tempoh Januari hingga Februari.

    Dalam kejadian ribut terbaharu di Lembah Klang pada Jumaat lepas, APM Wilayah Persekutuan yang dihubungi Bernama, memberitahu agensi itu merekodkan 37 insiden pokok tumbang di bandar raya ini dan 13 di Selangor.

    Insiden sedemikian bukan setakat menyebabkan kerugian wang ringgit akibat kerosakan harta benda dan infrastruktur awam, tetapi lebih tragik lagi apabila ada mangsa yang terkorban.

    Prof Dr Ahmad Ainuddin Nuruddin menyaran-kan PBT dan pihak yang berkenaan memantau pokok-pokok yang sudah berusia kerana kejadian pokok tumbang turut melibatkan pohon kayu yang telah matang dan ditanam sejak 1950an.
    Ramai orang hanya memfokuskan pada usaha menanam, namun kurang mengambil berat aspek penjagaan dan penyelenggaraan pokok dalam jangka panjang.
    Pada 2021, APM melaporkan 3,081 kes dan meningkat kepada 3,358 kejadian pada tahun berikutnya.

    Terbaharu yang dilaporkan oleh media ialah pada 25 April lepas, apabila seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya dihempap pokok tumbang akibat ribut, dalam kejadian di depan Hospital Sultan Abdul Halim Shah, Sungai Petani, Kedah.

    Selain itu, pada 19 Jan lepas, seorang remaja perempuan berusia 13 tahun meninggal dunia setelah ditimpa pokok tumbang ketika bermain bersama-sama dua adiknya di taman permainan di Kampung Balok Baru, Kuantan, Pahang.

    Bimbang dengan senario ini, beberapa pakar yang ditemu ramah Bernama menggesa pihak berwajib mengambil langkah segera bagi mengelak insiden sedemikian terus berlaku.

    Risiko pokok di bandar

    Mengulas tentang isu itu, pakar tumbuhan berkayu atau arboris, Prof Dr Ahmad Ainuddin Nuruddin tidak menolak kemungkinan lebih banyak pokok, khususnya di kawasan bandar, berisiko tumbang apabila dilanda ribut kencang.

    Menurut bekas Presiden Persatuan Arborist Malaysia (PArPM) itu, antara faktor yang menyebabkan pokok yang ditanam di kawasan bandar lebih mudah tumbang ialah ruang fizikal tanah yang sempit dan pemilihan pokok yang tidak sesuai.

    Jelas beliau, ruang fizikal tanah yang sempit akan menyebabkan pokok yang ditanam mengalami masalah akar tidak kukuh selain sukar menyerap air.

    “Bayangkan di bandar, pokok banyak ditanam di tepi jalan yang biasanya turut dibina laluan pejalan kaki. Keadaan ini menyebabkan pokok tersebut tidak dapat berkembang dengan baik sehingga menyebabkannya tidak stabil.

    “Jika pokok ditanam di kawasan hutan atau pinggir bandar, biasanya tidak banyak masalah.

    Yang menjadi isu sekiranya pokok itu ditanam di dalam kawasan bandar memandangkan banyak faktor perlu dilihat bagi memastikan pokok dapat tumbuh besar dan kuat tanpa merosakkan infrastruktur berdekatan,” jelasnya.

    Tambah memburukkan masalah ialah apabila ada pihak bertindak menanam spesies pokok yang tidak sesuai ditanam di kawasan bandar, dan menurutnya, beliau pernah menyaksikan sendiri perkara itu.

    Pokok yang ditanam adalah jenis balak yang boleh membesar dan mencapai ketinggian hingga 30 meter, dan spesies ini tidak sesuai ditanam di bandar kerana berisiko tinggi untuk tumbang jika akarnya tidak kukuh, tegas beliau.

    Bagi menangani isu ini, Ahmad Ainuddin yang juga bekas Pengarah Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP) Universiti Putra Malaysia (UPM), mencadangkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju melaksanakan inisiatif zon kritikal dalam setiap projek pembangunan.

    Zon kritikal bermaksud ada jarak bersesuaian antara projek pembangunan dan radius akar pokok agar fungsi akar sebagai penyerap air tidak terjejas.Untuk itu, sewajarnya pihak terbabit mendapatkan khidmat arboris, ujarnya.

    Beliau juga menyarankan PBT dan pihak yang berkenaan memantau pokok-pokok yang sudah berusia kerana kejadian pokok tumbang turut melibatkan pohon kayu yang telah matang dan ditanam sejak 1950-an selain tidak diselenggara dengan baik.

    “Pokok perlu dinilai sekurang-kurangnya dua kali setahun, tetapi kita dapati banyak pokok di kawasan bandar terbiar dan tidak terurus. Kita bimbang kerana pokok tua yang tidak diselenggara dengan betul mempunyai risiko mudah tumbang dan dahan patah apabila ditiup angin kuat serta hujan lebat.

    “Amat penting pokok di bandar dipelihara dan penebangan pokok bukanlah penyelesaian terbaik untuk mengelakkan pokok tumbang,” katanya, menambah penanaman pokok bukan sekadar mengindahkan landskap tetapi boleh membantu menangani masalah banjir kilat.

    Pokok sakit

    Jelas Ahmad Ainuddin lagi, ada juga kes pokok tumbang disebabkan serangan penyakit yang lazim berlaku apabila akar pokok terbabit kurang menerima air dan mineral.

    Hal ini terjadi apabila spesies pokok yang ditanam tidak sesuai dengan jenis tanah di satu-satu kawasan kerana, katanya, seperti manusia, pokok juga mudah terdedah kepada serangan penyakit yang akan menggalakkan pertumbuhan kulat dan menarik serangga perosak, sekali gus menyebabkan pokok mereput dan berisiko tumbang.

    Bukan itu sahaja, Prof Dr Ahmad Ainuddin berkata pokok yang sakit juga mencacatkan pemandangan dengan keadaan kulit yang terkopak dan daun menjadi kekuningan serta bentuk kanopi tidak sekata.

    Situasi ini, jika tidak ditangani segera, pasti akan menyukarkan usaha negara untuk merealisasikan Agenda Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dalam Rancangan Malaysia ke-12 bermula 2021 hingga 2025.

    Menurutnya, beliau juga mendapati ramai peserta program itu hanya memfokuskan pada usaha menanam, namun kurang mengambil berat aspek penjagaan dan penyelenggaraan pokok dalam jangka panjang.

    “Konsep dan visi penghijauan Malaysia sebenarnya sudah tepat bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya kawasan litupan hijau hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup, cuma cara dan kaedah melaksanakannya boleh terus diperbaiki,” kata beliau.

    Pemantauan berkala

    Sementara itu, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) yang dihubungi Bernama, memberitahu ia tidak lagi menanam pokok di depan rumah di kawasan perumahan baharu bagi mengelakkan kerosakan infrastruktur awam dan juga struktur bangunan.

    Menurut MBSJ, pokok baharu hanya ditanam di bahu jalan dan taman awam atau zon penampan, sementara jenis pokok pula adalah yang sederhana tinggi atau lambat tumbesaran bagi memudahkan pemantauan berkala kesihatan pokok terbabit.

    Bagi mengelakkan insiden pokok tumbang akibat sakit, MBSJ menjelaskan ia mendapatkan khidmat nasihat arboris bagi mengenal pasti sama ada pokok terbabit boleh dirawat atau sebaliknya.

    “Mana-mana pemaju yang hendak menanam pokok tinggi atau berkonsepkan hutan dinasihatkan untuk menyelenggara sendiri kawasan mereka dan tidak menyerahkan tugas itu kepada MBSJ.

    “Bagi pokok yang berisiko tumbang setelah dikenal pasti arboris, pihak MBSJ akan segera melantik kontraktor penyelenggaraan pokok bagi mengurangkan risiko pokok tumbang atau dahan serkah,” kata PBT itu.

    Berhubung langkah mencegah pokok tumbang, MBSJ berkata tindakan diambil menerusi pemantauan rondaan dan semakan inventori secara berkala, di samping penyelenggaraan.

    “Kaedah yang pertama adalah pemantauan rondaan dan semakan inventori terhadap pokok-pokok rimbun, tinggi dan sakit untuk dijadualkan penyelenggaraan. Semakan akan dibuat secara berkala dan bagi pokok yang telah melangkaui tempoh matang, akan dinilai dan diselenggara jika berkeperluan secara pukal dalam tahun yang ditetapkan.

    “Bagi kaedah kedua, penyelenggaraan seperti permintaan memangkas pokok yang tidak sukar, menebang pokok yang mendatangkan masalah atau kes pokok tumbang, akan dilaksanakan dalam kadar segera mengikut giliran dalam tahun tersebut,” jelas MBSJ.- Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda