POKOK lengkuas adalah satu lagi tumbuhan liar negara kita yang juga cantik dijadikan tanaman hiasan yang menarik. Ia tidak perlu diperkenalkan lagi kerana rizomnya itu sering digunakan sebagai bahan utama penyedap rasa dalam beberapa masakan daging dan ayam seperti rendang, serunding dan beberapa masakan yang lain.
Tumbuhan yang tergolong dalam keluarga tumbuhan Zingiberaceae ini dulunya dikenali sebagai spesies Languas galanga.
Kini ia diklasifikasikan semula sebagai spesies Alpinia galanga. Mungkin juga perkataan lengkuas itu diadaptasikan daripada perkataan ‘Languas’ daripada nama spesiesnya yang terdahulu. Selain negara kita ia juga dikatakan berasal dari beberapa negara di Asia Tenggara seperti Indonesia dan Thailand.
Biasanya tumbuhan ini cepat membentuk rumpunnya tersendiri. Dari hujung batang pokoknya yang matang tumbuh setangkai bunga majmuk yang terdiri daripada bunga-bunga kecil berwarna putih kehijauan yang tersusun rapi di sekeliling tangkainya.
Penampilan bunganya sebegini nampak begitu unik dan menarik melayakkannya ditanam sebagai tanaman hiasan.


Penanaman
Pokok ini boleh ditanam menggunakan rizomnya iaitu dengan mengorek rizom pokoknya bersama batangnya.
Pastikan setiap keratan mempunyai sekurang-kurangnya satu batang atau mata tunas pokok sebaiknya yang berakar.
Potong semua batang asal pokok ini bagi menggalakkan pertumbuhan tunas pokok yang baru. Sebelum menanamnya pastikan medium tanamannya di gembur terlebih dahulu.
Tanam rizomnya dalam medium tanaman yang gembur di mana air senang mengalir keluar dan kaya dengan kandungan humus.
Campuran medium tanaman yang disyorkan ialah 3:2:1 iaitu tanah peroi, bahan organik dan pasir sungai.
Penjagaan
Pokok lengkuas sangat sesuai ditanam di kawasan yang terdedah kepada banyak cahaya matahari untuk hidup subur dan berbunga sentiasa. Ia juga sangat selesa dengan keadaan persekitaran dan medium tanamannya yang lembap sentiasa untuk hidup subur.
Namun begitu elakkan air bertakung dalam medium tanamannya bagi menghindarkan pereputan rizomnya yang juga mengakibatkan pokok tersebut mati secara tiba-tiba.
Siram dua kali sehari ketika hari bercuaca terlalu panas atau pada musim kemarau.
Gunakan baja organik kerana ia mampu membekalkan humus yang banyak untuk pertumbuhan pokok yang lebih subur. Namun begitu baja kimia juga sesuai untuk tanaman ini asalkan digunakan seperti kaedah yang tertera pada setiap pek baja yang digunakan.
Elakkan menabur baja kimia biji berdekatan dengan perdu pokok kerana ini boleh melecurkannya.
Gembur medium tanamannya jika ia bertukar menjadi padat bagi memudahkan rizomnya tumbuh membesar dan cepat membentuk rumpun pokok.
Ia cantik ditanam di tanah secara berkelompok untuk pameran pokok yang berumpun dengan bunganya yang cantik dan unik. Namun ia agak kurang sesuai ditanam dalam pasu kerana pertumbuhan akar rizomnya yang cepat membiak itu memerlukan ruang yang agak luas.