Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pokok sequoia mampu serap 85kg karbon setahun

    LONDON, 13 MAC – Pokok sequoia gergasi yang terancam tumbuh pesat di United Kingdom (UK) tetapi juga boleh menyumbang besar kepada penyerapan karbon dioksida, menurut penyelidikan yang diterbitkan hari ini.

    Pokok tersebut, yang boleh mencapai ketinggian sehingga 90 meter dan hidup sehingga 3,000 tahun, mula-mula ditanam di UK pada pertengahan abad ke-19.

    Kini terdapat kira-kira 500,000 pokok sequoia di seluruh negara, lebih daripada 80,000 yang ada di habitat asalnya di California.

    Penyelidikan oleh University College London (UCL) dan diterbitkan dalam jurnal Royal Society Open Science, mendapati bahawa ‘spesies paling besar’ sequoia berpotensi menyerap purata 85 kilogram karbon dari atmosfera setahun.

    Ia adalah kali pertama kadar pertumbuhan dan ketahanan pokok-pokok itu dianalisis di UK.

    “Sequoia gergasi adalah sebahagian daripada organisma yang paling besar di Bumi dan dalam habitat asalnya membentuk beberapa hutan paling padat karbon di dunia kerana usianya yang panjang,” kata Ross Holland, pengarang utama penyelidikan itu.

    “Kami mendapati sequoia di UK sangat sesuai dengan iklim di sini dan dapat menyerap jumlah karbon dioksida yang besar,” tambahnya.

    Sequoia, yang mempunyai batang yang lebar dan boleh bertahan dari kebakaran yang akan menghapuskan hutan spesies pokok lain, mula-mula diimport ke UK sebagai benih dan anak pokok pada tahun 1853. – AFP

    Pokok sequoia gergasi yang masih hidup di Taman Negara Kings Canyon di lereng barat pergunungan Sierra Nevada California. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda