Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pokok tertinggi di dunia berusia 450 tahun terbakar

    PORTLAND, OREGON, 20 OGOS – Sebuah pokok Douglas Fir berusia lebih 450 tahun yang merupakan antara tertinggi di dunia sedang terbakar di kawasan pesisir selatan negeri Oregon, Amerika Syarikat (AS).

    Pokok Doerner Fir setinggi lebih 99 meter di Coos County mula terbakar sejak Sabtu lalu, menurut jurucakap Biro Pengurusan Tanah Persekutuan (BLM), Megan Harper.

    Pemeriksaan menggunakan dron inframerah kelmarin mendapati tiada api aktif atau asap di bahagian atas pokok, namun masih terdapat haba pada rongga batang pokok kira-kira 85 meter dari tanah.

    Harper berkata usaha memadam api berdepan kesukaran kerana kedudukan rongga yang tinggi. Antara pilihan yang dipertimbangkan ialah membina perancah, memanjat pokok bersebelahan atau membiarkan api marak kecil sebelum dipantau semula.

    Pasukan bomba kekal di lokasi dengan sebuah helikopter bersiap sedia bagi operasi pemadaman jika diperlukan.

    Persatuan Perlindungan Hutan Coos pada Isnin memaklumkan bahawa operasi helikopter sebelum ini berjaya mengurangkan aktiviti api berhampiran puncak pokok. Selain itu, alat penyembur air dipasang di pangkal pokok serta garisan kawalan api dibina bagi menghalang api merebak.

    Kebakaran itu dijangka memberi kesan kepada kedudukan pokok tersebut dalam senarai tertinggi dunia, kata Harper. – AP

    Gambar menunjukkan bahagian atas batang pokok Doerner Fir berasap di Coos County, Oregon pada 17 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda