Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MAC – Sepohon pokok getah berukuran 25 meter tumbang di atas jalan raya dan menghalang laluan di Jambatan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien (SHOAS) pada 25 Mac lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, empat orang anggota berserta sebuah jentera dari Balai Bomba Bangar yang diketuai oleh ABKS 629 Haji Mohd Yusra bin Haji Mohd Yussof dikejarkan ke tempat kejadian di kilometer 19.8 menghala Kota Batu di Jambatan SHOAS.
Kenyataan menyatakan, pokok getah sepanjang 25 meter dan garis pusat berukuran 20 sentimeter berkenaan telah tumbang di atas keseluruhan jalan raya utama.
Anggota bomba dan penyelamat segera bertindak memotong pokok berkenaan menggunakan dua gergaji rantai dan mengalihkannya ke tepi jalan.
Dalam kejadian itu, tidak ada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.
Turut hadir di tempat kejadian ialah Stesen Komander Balai Bomba Bangar, Pemangku ASFR Jamaluddin bin Ahmad dan keanggotaan daripada Balai Polis Bangar.
Dalam pada itu, JBP menyarankan orang ramai supaya menggelakkan menanam pokok terlalu dekat dengan rumah dan amalkan penjarakan bagi penanaman pokok-pokok berkenaan, pokok yang ditanam mesti sentiasa dijaga, diawasi dan dipotong sebelum keadaan tidak terkawal serta tidak meletakkan kereta mereka berdekatan dengan pokok-pokok besar ditakuti perkara tidak diingini berlaku.
