PHNOM PENH, 2 MAC – Perubahan iklim semakin mengancam keterjaminan makanan Malaysia, dengan corak cuaca tidak menentu dan peningkatan suhu global menjejaskan sektor pertanian.
Ketika pengeluaran makanan dalam negara berdepan risiko yang semakin meningkat, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, menegaskan Malaysia serta rantau ini kekal terdedah kepada ancaman perubahan iklim, sekali gus memerlukan kerjasama serantau bagi menangani kemungkinan kekurangan bekalan makanan.
“Kita mempunyai stok beras yang mencukupi untuk sekurang-kurangnya enam bulan. Tetapi kita tidak tahu apa yang akan berlaku akibat perubahan iklim, jadi keterjaminan makanan adalah penting.
“Kita perlu bekerjasama dengan negara lain di rantau ini untuk memastikan keterjaminan makanan kita. Pengeluaran padi kita sebelum ini ialah 71 peratus tetapi kini hanya 56 peratus.
“Kira-kira 20,000 hektar sawah padi telah ditukar kepada projek perumahan dan generasi muda enggan bekerja di sawah kerana pendapatan yang rendah,” katanya kepada Bernama di Phnom Penh.

Mohamad Sabu mengadakan lawatan dua hari ke negara itu pada akhir Februari bagi mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya, Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Kemboja Dith Tina.
Antara topik utama yang dibincangkan termasuk keterjaminan makanan, import beras (terutama beras wangi), akuakultur, perikanan serta kerjasama dalam sektor pertanian.
Eksport beras Kemboja tahun lepas berjumlah 651,522 tan, dengan lebih 100,000 tan metrik dihantar ke China manakala negara ASEAN memperoleh hampir 130,000 tan metrik. – Bernama