AKTIVITI harian yang padat serta kegagalan mengatur waktu menjadikan seseorang itu cenderung untuk makan mengikut waktu yang tidak teratur.
Kajian terbaharu yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Washington, Amerika Syarikat mendapati, pola makan yang tidak teratur bukan sahaja menyebabkan masalah kesihatan seperti masalah kegemukan, ia juga sebenarnya boleh mengundang kepada kematian.
Kajian tersebut yang diterbitkan dalam jurnal The Global Burden of Disease menulis, terdapat penyebab kematian di seluruh dunia, antaranya tekanan darah tinggi dan paras kolesterol serta kadar gula dalam darah yang terlalu tinggi.

Ketua penyelidik, Dr. Christopher Murray berkata, kebanyakan masalah tersebut berpunca daripada pola makan tidak teratur.
“Pola makanan yang tidak teratur termasuklah seperti pengambilan makanan yang terlalu tinggi kandungan garam, makanan segera serta kurang mengambil makanan berkhasiat seperti buah-buahan dan kekacang.
“Kebanyakan individu tidak menyedari pola makanan mereka tidak teratur dan ia sebenarnya amat berbahaya,” ujarnya.