WARSAW, 12 MAC – Poland berharap dapat menawarkan latihan tentera kepada 100,000 orang awam setiap tahun bermula pada 2027, kata Perdana Menteri, Donald Tusk kelmarin, sambil menggariskan rancangan berskala besar untuk mengembangkan tentera simpanan negara itu.
Sebagai sekutu erat Ukraine, Poland telah meningkatkan peralatan tenteranya dan mengambil langkah berwaspada terhadap Rusia, di tengah desakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump agar negara-negara Eropah lebih bertanggungjawab untuk mempertahankan diri mereka sendiri.
Pada Jumaat lalu, Tusk mengumumkan skim latihan tentera baharu yang bertujuan memastikan setiap lelaki dewasa di Poland dilatih ‘sebagai persediaan menghadapi peperangan’ dan negara itu mempunyai pasukan tentera simpanan yang mampu menangani ‘ancaman yang berpotensi meletus’.
“Pada 2027, kami akan berupaya melatih 100,000 sukarelawan setiap tahun,” beritahu Tusk kepada pemberita kelmarin, sambil menambah bahawa dia mahu latihan itu ‘tersedia seberapa banyak mungkin untuk orang awam’.
Pada masa ini, sekitar 35,000 orang menjalani latihan tentera asas setiap tahun sebagai sebahagian daripada perkhidmatan tentera sukarela.
“Sesiapa yang berminat dan berumur antara 18 hingga 60 tahun akan menerima maklumat terperinci tentang cara-cara untuk menamatkan kursus latihan,” jelas Tusk.
Skim yang terbuka kepada lelaki dan wanita itu bersifat sukarela tetapi pihak berkuasa merancang sistem ‘motivasi dan insentif’, kata Tusk.
“Contohnya, memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk menamatkan kursus lesen memandu profesional, termasuk untuk kenderaan berat,” tambahnya.
“Ini akan berguna sekiranya berlaku peperangan,” tambahnya.
Tusk juga berkata di X bahawa anggota kerajaan Poland dan pegawai-pegawai-nya ‘juga akan menjalani latihan sukarela tersebut.”’– AFP
