WARSAW, 31 OGOS – Poland hari ini mengisytiharkan perintah darurat di sepanjang sempadannya dengan Belarus setelah kemasukan sejumlah besar pelarian yang Warsaw mengesyaki didalangi oleh rejim Minsk.
Kerajaan bersetuju denganlangkah itu, kini dijangka akan ditandatangani oleh Presiden Andrzej Duda dalam beberapa jam akan datang.
Perintah darurat akan berlaku selama 30 hari dan termasuk larangan demonstrasi di sempadan serta kewajiban orang di kawasan itu untuk membawa dokumen pengenalan diri.
“Situasi di sempadan dengan Belarus adalah krisis yang berterusan,” kata Perdana Menteri Mateusz Morawiecki kepada wartawan.
“Itulah sebabnya kami memutuskan untuk mencadangkan penyelesaian ini kepada presiden,” katanya.
Ribuan pelarian, kebanyakannya dari Timur Tengah, telah menyeberang dari Belarus ke tiga negara anggota timur Kesatuan Eropah (EU) iaitu Latvia, Lithuania dan Poland dalam beberapa bulan kebelakangan.
EU percaya para pelarian diarahkan pergi ke EU sebagai bentuk tindak balas oleh pemimpin Belarus, Alexander Lukashenko terhadap sekatan EU yang semakin ketat terhadap negaranya.
Poland telah mengelar langkah tersebut sebagai ‘serangan hibrid’ ke atas keseluruhan negara blok dan telah menghantar 2,000 orang tentera untuk membantu pengawal sempadannya untuk membina pagar berduri di sepanjang sempadan. – AFP