WARSAW, POLAND, 17 SEPT – Poland mula menguatkuasakan larangan Kesatuan Eropah (EU) hari ini terhadap semua kereta penumpang yang berdaftar di Rusia yang cuba memasuki negara tersebut. Itu merupakan tindakan terbaharu dalam sekatan terhadap Rusia sebagai hukuman atas peperangannya terhadap Ukraine.
Menurut keputusan EU, kenderaan bermotor yang berdaftar di Persekutuan Rusia tidak lagi dibenarkan memasuki wilayah blok 27 negara anggota itu.
“Kereta yang berdaftar di Rusia tidak mempunyai hak untuk memasuki Poland,” kata Menteri Dalam Negeri Poland, Mariusz Kaminski, kelmarin, mengumumkan larangan yang berkuat- kuasa beberapa jam kemudian pada tengah malam.
“Itu adalah satu lagi elemen lain dari sekatan yang dikenakan ke atas Rusia dan warganya berhubung dengan perang kejam di Ukraine, disebabkan fakta bahawa negara Rusia hari ini merupakan ancaman kepada keselamatan antarabangsa,” kata Kaminski.
Langkah itu datang hanya beberapa hari selepas negara-negara Baltik berdekatan seperti Lithuania, Latvia dan Estonia melarang kenderaan dengan plat pendaftaran Rusia daripada memasuki wilayah mereka satu tindakan bersama selaras dengan interpretasi terkini mengenai sekatan EU terhadap Moscow.
Poland dan negara-negara Baltik adalah antara pengkritik Eropah yang paling lantang terhadap Rusia dan Presiden Vladimir Putin.
Pada Selasa, Dmitry Medvedev, Timbalan Ketua Majlis Keselamatn Rusia, yang dipengerusikan oleh Presiden Vladimir Putin, mengecam tindakan suruhanjaya Eropah sebagai rasis. Beliau mencadangkan bahawa Moscow boleh membalas dengan menangguhkan hubungan diplomatik dengan EU dan menarik balik diplomatnya dari Brussels. – AP
