POLAND, 15 OGOS – Poland mengadakan perarakan tentera hari ini untuk mempamerkan senjata dan sistem pertahanannya yang canggih, ketika peperangangan melanda sempadan tenggaranya di negara jiran Ukraine dan sebelum pilihan raya parlimen yang dijadualkan pada 15 Oktober.
Orang ramai berkumpul dalam cuaca terik mencecah 35 darjah Celsius untuk melihat kereta kebal Abrams buatan Amerika Syarikat (AS), sistem artileri mudah alih HIMARS dan sistem peluru berpandu Patriot, serta jet pejuang FA-50 Korea Selatan dan howitzer K9.
Sejak Rusia melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine pada Februari 2022, kerajaan sayap kanan Poland telah membelanjakan lebih daripada AS$16 bilion untuk kereta kebal, sistem pemintas peluru berpandu dan jet pejuang, kebanyakannya dibeli dari AS dan Korea Selatan.
Poland, ahli NATO, menyokong Kyiv dalam perangnya menentang Rusia.
Perarakan itu diadakan di ibu negara Poland pada ulang tahun Pertempuran Warsaw 1920, di mana tentera Poland mengalahkan pasukan Bolshevik yang mara ke Eropah.
Peningkatan ketenteraan telah mengukuhkan keupayaan pertahanan Poland dan beberapa peralatan telah menggantikan kelengkapan buatan Soviet dan Rusia yang diberikan Poland kepada Ukraine.
Poland sedang membangunkan salah satu tentera terkuat Eropah untuk memperkukuhkan pencegahan penceroboh yang berpotensi dan menambah bilangan tenteradi sepanjang sempadannya dengan sekutu utama Rusia, Belarus.
Menunjukkan kekuatan ketenteraannya juga merupakan cara kerajaan Poland menarik sokongan pengundi menjelang pilihan raya Oktober, di mana parti pemerintah Undang-undang dan Keadilan akan berusaha memenangi penggal ketiga yang belum pernah berlaku sebelum ini. – AP