WARSAW, 29 OGOS – Pihak berkuasa keselamatan Poland sedang menyiasat beberapa kes gangguan kepada lalu lintas kereta api, selepas isyarat radio tanpa kebenaran menghentikan beberapa kereta api pada hujung minggu.
Dalam beberapa isyarat tersebut, lagu kebangsaan Rusia dilaporkan kedengaran di latar belakang.
Kereta api Poland merupakan laluan pengangkutan utama bagi sokongan ketenteraan antarabangsa ke negara jiran Ukraine, yang sedang melawan pencerobohan Rusia. Rangkaian itu juga menghantar eksport pertanian Ukraine ke pasaran barat.
Dua lelaki berusia 20an ditahan baru-baru ini selepas mereka menjana isyarat interkom yang menghentikan lima kereta api penumpang dan satu kereta api kargo berhampiran Bialystok, di timur laut. Pendakwa raya telah membuka siasatan. Salah seorang daripada dua suspek yang ditahan ialah seorang pegawai polis, polis di Bialystok berkata kelmarin bahawa agensi mereka telah membuka prosedur pemecatan terhadapnya.
Isyarat ‘gangguan radio’ yang serupa menghentikan seketika beberapa kereta api penumpang dan kargo di wilayah lain di seluruh Poland pada hujung minggu. Dalam sesetengah kes, lagu Rusia boleh didengari melalui interkom, lapor media Poland.
Pihak berkuasa menyatakan bahawa tiada ancaman kepada keselamatan awam dan tiada sesiapa yang cedera.
Timbalan penyelaras perkhidmatan perisikan, Stanislaw Zaryn berkata kelmarin “tiada apa-apa yang menunjukkan bahawa masalah itu timbul akibat hasutan negara asing.”
“Tetapi keadaan geopolitik mewajarkan kita menganalisis perkara itu dengan teliti (untuk menentukan) siapa yang mungkin berada di sebalik insiden seperti itu,” katanya. – AP


