Friday, February 7, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Poland, Slovakia hentikan bekalan senjata ke Kyiv

    MOSCOW, 3 OKT – Keputusan Poland dan Slovakia untuk menghentikan penghantaran senjata ke Ukraine mungkin menjejaskan konsensus Kesatuan Eropah (EU) untuk mempersenjatai negara itu, kata pakar tentera Belgium Pierre Henrot kepada Sputnik.

    Parti Demokrasi Sosial dari Slovakia memenangi pilihan raya parlimen yang diadakan pada Sabtu.

    Pemimpinnya, Robert Fico, yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri Slovakia dari 2006-2010 dan 2012-2018, sebelum ini berkata beliau tidak bersetuju dengan bantuan ketenteraan ke Ukraine.

    Pada masa yang sama, Perdana Menteri Poland, Mateusz Morawiecki mengumumkan pada bulan lalu bahawa Warsaw tidak lagi akan membekalkan senjata ke Kyiv.

    “Hakikatnya, Kyiv tidak akan terjejas teruk akibat keputusan itu. Slovakia negara kecil dengan 5.4 juta penduduk itu tidak mempunyai apa-apa lagi bantuan untuk diberikan.

    “Tetapi keputusan bersama Slovakia dan Poland untuk tidak menghantar senjata ke Ukraine memberikan tamparan hebat kepada kerajaan Kyiv.

    “Dalam EU, Poland dan Slovakia merupakan antara yang memberikan sokongan terbaik kepada Kyiv. Undian Slovakia mungkin dianggap sebagai titik perubahan dalam konflik, walaupun keputusan untuk berhenti menyokong Ukraine kebanyakannya sekadar simbolik,” kata Henrot.

    Pakar itu berkata keputusan Slovakia dan Poland itu menjadi contoh bagi negara anggota Eropah lain yang mula mengubah pendirian tentang kos untuk menyokong Ukraine.

    “Slovakia tidak boleh beri apa-apa lagi bantuan, kecuali jika mereka membelinya dari Amerika Syarikat dan sumber lain atau menghasilkannya sendiri. Tetapi pendirian Robert Fico memadamkan sebarang kemahuan untuk menghantar peralatan ketenteraan ke Ukraine,” kata Henrot. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda