KUALA LUMPUR – Apakah benar ubat Ivermectin sangat berkesan dalam merawat COVID-19, malah mampu menyelamatkan nyawa pesakit kategori 5 yang sedang nazak hingga digelar ‘ubat ajaib?’
Berpegang pada dakwaan itu serta beberapa kajian berskala kecil di luar negara, pihak pro-Ivermectin di Malaysia termasuk beberapa wakil rakyat pembangkang mendesak agar ubat tersebut diluluskan penggunaannya di Malaysia.
Polemik ubat yang sebenarnya untuk rawatan cacing dan kudis buta itu semakin hangat apabila seorang pengamal perubatan, dalam temu bual yang disiarkan oleh sebuah stesen televisyen tempatan baru-baru ini, bersetuju penggunaan ubat tersebut dalam rawatan COVID-19 kerana dikatakan dapat mengurangkan risiko kematian.
Bagaimanapun, sebilangan besar pengamal perubatan di negara ini kurang bersetuju kerana kemujaraban ubat antiparasit itu dalam rawatan COVID-19 secara khusus belum dibuktikan dari segi klinikal, malah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) juga memaklumkan tiada produk dengan bahan aktif Ivermectin berdaftar untuk kegunaan manusia.
Bagaimanapun percanggahan pendapat pakar perubatan jelas tidak menghalang segelintir ahli masyarakat yang bertindak membeli Ivermectin daripada pasaran gelap sedangkan ada risiko menanti mereka yang mengambil ubat itu tanpa nasihat doktor.
“Selalu saya jumpa komplikasi Ivermectin. Sudah pasrah.
“Pesakit sudah baik COVID pun nak ambil Ivermectin, sekarang fungsi hati bermasalah. Kuning -jaundice.” Demikian luah Pakar Perunding Perubatan dan Pakar Nefrologi Hospital Putrajaya Dr Rafidah Abdullah dalam hantaran Twitter beliau.
Sementara itu, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia Amrahi Buang berkata polemik Ivermectin mungkin boleh dilerai menerusi laporan CochraneReview yang diterbitkan pada 28 Julai 2021 lepas.
Beliau berkata kajian perubatan berstandard emas itu merumuskan bahawa ubat Ivermectin tidak berkesan dalam mencegah dan merawat penyakit COVID-19.
“Ubat ini tidak menggantikan vaksin. Walaupun ada negara yang menggunakan Ivermectin untuk manusia, tidak semestinya ia berkesan.
“Negara India, Indonesia contohnya, telah menarik semula penggunaan Ivermectin dalam merawat COVID-19,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Jelas bekas Ketua Pegawai Farmasi Pusat Perubatan Universiti Malaya itu, kajian berskala besar dan menyeluruh diperlukan sebelum dapat dirumuskan Ivermectin selamat dan berkesan dalam merawat COVID-19. – Bernama