Polis Afghan kembali bertugas bersama Taliban

KABUL, 12 SEPT – Polis Afghanistan di lapangan terbang Kabul kembali bertugas mengawal pusat pemeriksaan bersama-sama pasukan keselamatan Taliban buat pertama kali sejak kumpulan tersebut merampas kuasa, menurut pegawai hari ini.

Apabila Taliban memasuki Kabul bulan lalu dan menyingkirkan kerajaan, pihak polis meninggalkan pusat-pusat kawalan, takut mengenai apa yang bakal dilakukan oleh Taliban.

Namun, kedua-dua pegawai berkata mereka kembali bertugas kelmarin selepas menerima panggilan daripada komandan Taliban.

Hari ini, wakil AFP di lapangan terbang menyaksikan anggota polis di sempadan dikerah di beberapa pusat pemeriksaan di luar bangunan utama lapangan terbang, termasuk terminal domestik.

“Saya kembali bertugas kelmarin setelah lebih dua minggu berada di rumah,” kata salah seorang anggota polis kepada AFP.

“Saya menerima panggilan daripada komandan tertinggi Taliban meminta saya untuk kembali menjalankan tugas,” menurut seorang lagi pegawai polis.

“Kelmarin keadaan sangat baik, dan saya gembira untuk kembali menjalankan tugas.”

Taliban berkata mereka memberikan pengampunan besar-besaran kepada sesiapa yang bekerja untuk kerajaan terdahulu, termasuk tentera, polis dan pasukan keselamatan lainnya. – AFP

Seorang pejuang Taliban menjaga pusat kawalan di Lapangan Terbang Kabul. Polis Afghanistan kembali menjalankan tugas bersama pasukan keselamatan Taliban buat pertama kali sejak kumpulan tersebut merampas kuasa.- AFP