Wednesday, May 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis, anak perempuan temui hidayah

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 1 NOV – Seorang pegawai polis bersama anak perempuannya telah melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis yang berlangsung di Surau Polis Panaga, Seria, kelmarin.

    Sarjan 2945 Sulau Anak Angah, 46 dan anak perempuannya yang berusia 17 tahun, Noramalina Nadirah Anak Sulau merupakan ateis sebelum memilih agama Islam sebagai pegangan hidup mereka yang baharu.

    Hadir menyaksikan majlis pengislaman dua beranak berkenaan ialah Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali selaku tetamu kehormat serta timbalan pesuruhjaya polis, pengarah-pengarah dan timbalan pengarah, pegawai pemerintah daerah polis (OCPD), ketua Unit Polis dan Formasi serta Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Aliyani bin Ismail dan Pemangku Ketua Unit Dakwah Daerah Belait, Awang Murdini bin Haji Hassan.

    Pada majlis itu, upacara pengislaman telah disempurnakan oleh guru agama terlatih, Awang Muhammad Nir Aisamuddin bin Muhammad Hanafi dan Pembantu Ketua Unit Dakwah Daerah Belait, Hajah Salimah binti Haji Hassan.

    Dengan pengislaman berkenaan, Sulau Anak Angah kini dikenali dengan nama Islamnya sebagai Muhammad Ammar Naim bin Abdullah Angah dan anak perempuannya memilih nama Islamnya sebagai Nur Rabiatul Rashidah binti Muhammad Ammar Naim.

    Bagi meraikan saudara-saudara baharu berkenaan, tetamu kehormat menyampaikan cenderahati dan diikuti dengan menabur bunga rampai yang diiringi laungan Dikir Marhaban.

    Awang Muhammad Ammar Naim ketika ditemui mengongsikan, keinginan beliau untuk memeluk Islam datang daripada rakan-rakannya, dan sebelum ini, beliau tidak dapat menyertai aktiviti-aktiviti agama bersama rakan-rakannya seperti sembahyang berjemaah kerana bukan Muslim.

    Lama kelamaan, timbul rasa beliau untuk mula mengikuti pelbagai aktiviti agama yang telah membuka hatinya untuk memeluk agama Islam, tambah beliau.

    Beliau juga melahirkan rasa gembira kerana dapat mencapai salah satu cita-citanya untuk memeluk agama Islam dan beliau berharap untuk terus mengembangkan pengetahuannya mengenai agama suci ini.

    Tetamu kehormat semasa menabur bunga rampai ke atas Awang Muhammad Ammar Naim pada majlis pengislaman itu.
    Sulau yang kini dikenali sebagai Muhammad Ammar dan anaknya yang memilih nama Islam, Nur Rabiatul Rashidah melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis itu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda