Saturday, March 15, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis AS buru lelaki penggal kepala singa laut

    LOS ANGELES, 14 MAC – Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) sedang memburu seorang lelaki yang memenggal kepala seekor singa laut mati di pantai California pada Hari Krismas sebelum melarikan diri dengan kepala haiwan itu dalam beg plastik lut sinar.

    Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) menawarkan ganjaran AS$20,000 untuk maklumat yang membawa kepada penangkapannya.

    Menurut notis NOAA, bangkai singa laut itu ditemui dalam keadaan sempurna di Taman Wilayah Doran, kira-kira 100 kilometer di utara San Francisco, pada 25 Disember lalu.

    Namun, tidak lama selepas itu, ia telah dikerat dengan kejam.

    “Seorang saksi melihat suspek, seorang lelaki berkulit sawo matang berusia sekitar 30 hingga 40 tahun, berpakaian serba hitam dan menunggang basikal e-bike bertayar besar warna hitam,” kata NOAA.

    “Suspek dilihat menggunakan pisau hitam sepanjang lapan inci untuk memenggal kepala singa laut itu, memasukkannya ke dalam beg plastik lut sinar dan melarikan diri.”

    Di bawah undang-undang persekutuan AS, adalah haram untuk mengganggu, memburu, menangkap atau membunuh singa laut serta hidupan marin lain.

    Singa laut California merupakan spesies yang biasa ditemui di pantai barat Amerika Utara, termasuk di San Francisco, di mana bunyi khas mereka sering kedengaran di Fisherman’s Wharf dan sekitar Jambatan Golden Gate.

    Terkenal dengan kepintaran mereka, singa laut digunakan dalam pertunjukan di sarkas dan akuarium, dan pernah digunakan Tentera Laut AS untuk operasi ketenteraan tertentu.

    Polis sedang menyiasat motif di sebalik tindakan kejam itu. – AFP

    Gambar menunjukkan singa laut California di Pier 39 pada 7 Mei 2024 di San Francisco, California. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda