LOS ANGELES, 9 OKT – Hampir sembilan bulan selepas tercetusnya kebakaran dahsyat di kawasan metropolitan Los Angeles, seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan kerana disyaki melakukan perbuatan membakar dengan sengaja, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Suspek dituduh memulakan kebakaran pada Hari Tahun Baharu yang kemudiannya merebak menjadi kebakaran Palisades yang membawa bencana, menurut Bill Essayli, ketua pendakwa raya persekutuan di California Selatan.
Kebakaran di pinggir Los Angeles itu pada mulanya dipadamkan oleh anggota bomba pada Hari Tahun Baharu, tetapi terus membara di bawah tanah. Ia kemudian marak semula pada 7 Januari, didorong oleh angin kencang, lapor penyiasat.
Suspek, yang kini menetap di Florida, dituduh sengaja memulakan kebakaran di California.
Penyiasat menemui imej yang dihasilkan menggunakan ChatGPT pada peranti elektronik lelaki itu yang menggambarkan sebuah bandar yang sedang terbakar.
Mereka juga memetik rakaman pengawasan, kenyataan saksi dan bukti berpotensi lain.
Dua kebakaran hutan utama, Kebakaran Palisades di pinggir barat Los Angeles dan Kebakaran Eaton berhampiran Pasadena dan Altadena memusnahkan lebih daripada 16,000 bangunan awal tahun ini.
Anggota bomba bekerja selama berminggu-minggu untuk mengawal kebakaran itu.
Sekurang-kurangnya 31 orang kehilangan nyawa. – Bernama


