Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Polis ASEAN ikrar tingkat kerjasama perangi jenayah transnasional

    VIENTIANE, 19 OKT – Polis ASEAN yang bertemu di Vientiane, ibu negara Laos, berjanji untuk meneruskan perjuangan menentang jenayah transnasional serta mengukuhkan hubungan sesama pasukan polis ASEAN, rakan dialog dan negara pemerhati.

    Janji itu dibuat pada mesyuarat ketua-ketua Delegasi Polis ASEAN dan rakan perunding sempena Persidangan ASEANAPOL ke-41 pada Selasa yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Keselamatan Awam Lao, Khamking Phouilamanivong.

    Pasukan polis ASEAN berusaha untuk meningkatkan perkongsian untuk mempromosi keamanan, keselamatan dan kestabilan, serta meningkatkan kerjasama dalam menangani jenayah transnasional seperti penyeludupan dadah, keganasan, penyeludupan senjata dan permerdagangan manusia, lapor Xinhua.

    Bercakap pada persidangan itu, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Keselamatan Awam Laos Vilay Lakhamfong berkata, “Persidangan ASEANAPOL ke-41 berlangsung dalam persekitaran yang menawarkan pelbagai kemudahan dan banyak cabaran.”

    “Oleh itu, persidangan ini penting bagi meningkatkan kerjasama, sama ada di peringkat serantau mahupun global dalam menangani pelbagai jenayah untuk memastikan rantau dan masyarakat dunia hidup dalam keadaan yang aman, damai dan stabil,” katanya.

    Peserta persidangan itu turut mendengar ceramah mengenai kerjasama polis dengan rakan dialog dan negara pemerhati, sama ada secara dua hala dan pelbagai hala, mengenai pencegahan dan memerangi jenayah transnasional.

    Isu tersebut dibincangkan secara membina dan berterus-terang bagi mencari penyelesaian kepada kadar jenayah rentas sempadan yang semakin meningkat.

    Keputusan mesyuarat itu akan menjadi asas kepada pelan kerjasama polis dalam mencegah dan memerangi jenayah rentas sempadan, serta mengukuhkan kerjasama antara pasukan polis negara anggota ASEAN, rakan dialog dan negara pemerhati.

    Mereka juga berjanji untuk meningkatkan kerjasama dalam membanteras jenayah rentas sempadan di bawah arahan Sekretariat Polis ASEAN di Kuala Lumpur. – Bernama

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...