Saturday, October 26, 2024
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis Australia rampas 6,000 pokok ganja

    MELBOURNE, 25 OKT – Polis Australia merampas kira-kira 6,000 pokok ganja yang ditemukan di Victoria, tenggara negara itu, lapor agensi berita Jerman (dpa).

    Menurut polis Victoria, ejen mereka pada Selasa menemukan ‘sistem hidroponik yang canggih…di beberapa rumah hijau bersaiz komersial’ semasa mereka menggeledah sebuah kawasan luar bandar di Leongatha South, kira-kira 100 kilometer tenggara Melbourne.

    Polis dalam kenyataan lewat Khamis berkata empat lelaki dan seorang wanita, semuanya rakyat Vietnam berumur 25 hingga 54 tahun, ditahan.

    Mereka didakwa kerana menanam dan mengedar ganja dalam kuantiti komersial.

    Sebanyak 6,525 pokok ganja, daripada anak benih hingga pokok matang, dirampas.

    Rampasan itu seberat 1.7 tan dan dianggarkan bernilai lebih A$26 juta (AS$17.2 juta) di pasaran gelap.

    Menurut media Australia, dadah itu dimusnahkan di rumah hijau itu juga.

    “Ini merupakan satu daripada sistem hidroponik ganja terbesar dan kompleks yang pernah kami temui kebelakangan ini,” kata detektif Skuad Dadah Utama, Leemara Fairgrieve.

    “Dadah adalah punca utama jenayah siasatan menunjukkan komitmen berterusan kami terhadap perdagangan bahan terlarang di Victoria serta penjenayah yang cuba meraih keuntungan daripada risiko ancaman terhadap masyarakat,” katanya. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda