SYDNEY, 15 OKT – Polis Australia merampas dadah bernilai kira-kira AS$170 juta dan senjata api dalam satu serbuan terhadap kumpulan jenayah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan cubaan pembunuhan terancang berhampiran sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Sydney minggu lalu.
Menurut Polis New South Wales, pihaknya sebelum ini telah menggagalkan cubaan pembunuhan oleh kumpulan dikenali sebagai ‘pasukan pembunuh’ dan menahan tiga suspek lelaki yang terlibat.
Dalam kenyataan hari ini, polis memaklumkan mereka merampas 400 kilogram dadah dalam operasi besar-besaran yang menyasarkan satu sindiket jenayah transnasional yang dipercayai mempunyai kaitan dengan cubaan pembunuhan.
Hasil serbuan membawa kepada penemuan bahan terlarang seperti methamphetamine, kokain dan heroin yang disimpan dalam beg sandang dan disorok di beberapa rumah di sekitar Sydney.
Polis menganggarkan rampasan itu mempunyai nilai pasaran gelap sekitar AUS$260 juta (AS$170 juta).
Jurucakap polis berkata operasi itu merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas bagi membanteras rangkaian jenayah antarabangsa yang dipercayai beroperasi dari Asia Tenggara. – AFP


