SYDNEY, 2 JUN – Polis di negeri pulau Tasmania, Australia, telah memulakan siasatan terhadap kematian seorang lelaki yang mayatnya ditemui dalam sebuah tong sampah industri.
Polis Tasmania berkata kelmarin, mayat lelaki berusia 45 tahun itu ditemui kira-kira pukul 9 pagi dalam sebuah tong sampah besar di sebuah premis perniagaan di Bellerive, sebuah kawasan pinggir bandar Hobart.
Dalam sidang media pada petang hari ini, Inspektor Detektif, David Gill berkata, punca kematian lelaki itu yang dipercayai telah tiada tempat tinggal selama kira-kira dua bulan masih belum diketahui, namun lelaki itu sering berada di kawasan tersebut dan terakhir kali dilihat hidup oleh anak-anaknya pada malam Sabtu.
Polis telah mula mengumpulkan maklumat tentang pergerakan lelaki itu sejak malam Sabtu dan sedang meneliti rakaman CCTV dari kawasan berkenaan. – Xinhua


