Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis Australia siasat sejuta fail berkait kesalahan seksual kanak-kanak

    SYDNEY, 11 SEPT – Polis Australia hari ini memaklumkan mereka sedang meneliti lebih sejuta fail milik seorang suspek kesalahan seksual kanak-kanak, yang menurut media tempatan pernah bekerja bersama golongan bawah umur.

    Lelaki dari Sydney itu, yang tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah, telah didakwa pada Julai lalu dalam siasatan berkaitan bahan penderaan seksual kanak-kanak dalam talian.

    Penyiar nasional ABC melaporkan suspek bekerja sebagai penjaga kanak-kanak dan telah dituduh menghasilkan bahan penderaan seksual kanak-kanak.

    Polis Persekutuan Australia (AFP) hari ini mendedahkan skala bahan yang sedang disemak daripada peranti yang dirampas ketika serbuan di rumah suspek.

    “Penyiasat telah mengenal pasti kira-kira 1.4 juta fail elektronik dalam peranti tersebut.

    Gambar Freepik

    Daripada jumlah itu, sekitar 550,000 adalah imej unik,” kata Detektif Superintenden AFP, Luke Needham dalam satu kenyataan.

    “Jumlah fail ini tidak menunjukkan tahap kesalahan yang didakwa,” tegasnya.

    “Sebaliknya, ia menggambarkan jumlah kerja yang perlu dilakukan oleh penyiasat,” tambah Needham, sambil menjelaskan pasukan masih meneliti bahan elektronik itu secara sistematik.

    Akhbar Sydney Morning Herald melaporkan masih belum jelas berapa banyak fail yang didakwa dihasilkan oleh suspek menggunakan kanak-kanak di bawah jagaannya, dan berapa banyak yang dimuat turun atau dikongsi. Menurut akhbar itu, lelaki berkenaan pernah bekerja di beberapa pusat jagaan kanak-kanak sekitar Sydney selama lebih sedekad.

    Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, beberapa kes penderaan berprofil tinggi telah menarik perhatian umum terhadap sektor penjagaan kanak-kanak di Australia. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda