DHAKA, 8 JUN – Duduk dengan kaki bersilang di laman balai, berpuluh-puluh anggota polis Bangladesh menghembus dan menyedut nafas bersama-sama ketika mereka mengambil bahagian dalam yoga beramai-ramai dianjurkan untuk mempertingkatkan kesihatan mereka semasa pandemik koronavirus.
Pegawai polis memainkan peranan penting dalam melaksanakan langkah perintah berkurung di negara 168 juta penduduk itu sebelum ia dibatalkan pada hujung Mei.
Namun virus sudah menjangkiti lebih daripada 6,000 anggota polis di seluruh Bangladesh, dengan 19 daripadanya meninggal dunia.
Di ibu negara, Dhaka, sekurang-kurangnya 1,850 anggota polis dijangkiti dan 10 mati, menurut statistik dari kerajaan. “Mereka memainkan peranan penting di jalan-jalan agar undang-undang dan peraturan dipatuhi,” kata Rajon Kumar Saha, jurucakap bagi divisyen keselamatan diplomatik polis Dhaka yang memulakan sesi yoga itu pada Ahad.
“Ia penting untuk memastikan mereka bebas tekanan semasa bertugas,” katanya memberitahu AFP. – AFP
