Polis berkas anak Fujimori

LIMA, 11 Okt – Polis di Peru telah memberkas Keiko Fujimori, ketua pembangkang yang juga anak perempuan kepada bekas presiden negara Amerika Selatan, bagi tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan syarikat pembinaan gergasi Brazil, Odebrecht, menurut peguamnya semalam.

Beliau yang berusia 43 tahun telah diberkas atas arahan pihak pendakwa yang menyiasat ke atas sumbangan kepada kempennya apabila beliau bertanding bagi jawatan presiden pada tahun 2011, menurut peguamnya, Giuliana Loza.

“Pendakwaan telah disifatkan sebagai keadilan kepada negara kami,” ahli politik itu menulis di Twitter.

Penangkapannya dibuat seminggu selepas pengampunan presiden untuk bapanya Alberto Fujimori bagi jenayah kemanusiaan ditarik balik oleh mahkamah tinggi, yang telah memerintahkan beliau kembali ke penjara.

Ketua parti Popular Force, parti terbesar dalam Kongres, Keiko Fujimori diberkas selepas memberikan bukti di pejabat pendakwa raya kepada hakim yang menyiasat dakwaan pembiayaan parti dari Odebrecht.

Suaminya mengiringi beliau bagi perbicaraan di Lima dihadapan hakim Richard Concepsion Carhuancho. Bagaimanapun dalam perkembangan yang mengejutkan, beliau ditangkap dan diletakkan dalam tahanan pencegahan selama 10 hari, kata Loza, yang menyifatkan penahanan itu sebagai ‘kejam dan penganiayaan.’

Para penyokong beliau segera berhimpun di luar penjara untuk mengadakan bantahan. – AFP

Gambar yang disediakan oleh Jabatan Keadilan Peru menunjukkan Keiko Fujimori tiba di pejabat ketua pendakwaraya dengan jaket menutup tangannya yang digari. – AP