Saturday, May 10, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis berkas dua lelaki ‘penembak curi’

    15 tahunBANDAR SERI BEGAWAN, 2 April 2002 – Kejadian ‘peluru sesat’ mengenai kereta yang lalu lalung sekitar Jalan Padang mungkin tidak akan berlaku lagi ekoran tindakan pantas pihak berkuasa menyiasat keadaan sebenar kejadian itu.

    Polis berjaya menahan dua orang lelaki disyaki terbabit dalam insiden tembak curi ke atas empat buah kereta di sepanjang Jalan Padang berhampiran Sekolah Rendah Pusar Ulak.

    Penahanan dua lelaki yang dipercayai anggota pasukan berpakaian seragam itu dibuat ekoran pemeriksaan mengejut yang dilakukan oleh sepasukan anggota polis cawangan Antijenayah di sebuah pangsapuri di situ kira-kira pada pukul 9 malam.

    Dalam pemeriksaan mengejut itu, polis turut menjumpai dua lastik yang dipercayai ‘senjata’ yang digunakan oleh kedua lelaki itu untuk menembak curi kenderaan yang melalui Jalan Padang.

    Menurut saksi, mereka terkejut melihat kehadiran sejumlah besar anggota polis di sekitar kawasan rumah flat itu.

    Sebelum kedatangan polis, sejumlah besar anggota tentera turut berada di sana.

    Dalam kejadian sebelumnya, seorang pemandu yang merupakan pegawai kanan kerajaan terpaksa dikejarkan ke hospital kerana kecederaan akibat serpihan kaca sejurus selepas kereta yang dipandu bersama anak majikannya serta seorang pembantu rumah menjadi sasaran penembak curi.

    Kejadian itu adalah yang ketiga berlaku dengan seorang doktor dan anak damit menjadi sasaran sebelumnya.

    Sementara itu, kira-kira sebulan lalu seorang samseng jalan raya telah me-ngeluarkan senapang angin dan menembak ke arah seorang pemandu lain dalam satu perselisihan faham di Jalan Tungku Link.

    Menurut mangsa, kejadian itu berlaku sewaktu Sambutan Tahun Baru China, apabila dia membunyikan hon ke arah seorang pemandu lelaki yang memandu dengan cuai di sepanjang Jalan Tungku Link.

    Pemandu itu kemudian mengekori dan membuli mangsa di jalan raya sehingga kedua-duanya berhenti di lampu isyarat.

    Mangsa itu terkejut apabila lelaki itu berhenti di sebelahnya lalu mengeluarkan sepucuk senapang angin dan menembak keretanya.

    Laporan polis kemudian dibuat dengan mangsa menyatakan wajah lelaki itu, jenis dan nombor keretanya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda