TOKYO, 2 OGOS – Polis Jepun baru-baru ini telah menahan sekumpulan penjenayah warga emas yang berusia dalam lingkungan 60an hingga 80an dan mendakwa mereka memecah masuk dua buah rumah dan disyaki terlibat dalam 10 rompakan lain.
Menurut laporan Oddity Central, Hideo Umino, 88, Hidemi Matsuda, 70, dan Kenichi Watanabe, 69, didakwa berkenalan sewaktu di penjara dan memutuskan untuk bekerjasama selepas dibebaskan untuk melakukan jenayah dengan lebih cekap.
Ketiga-tiga mereka, yang digelar ‘G3S’ oleh polis, dituduh memecah masuk ke sebuah rumah kosong di Sapporo, di bandar utama di Pulau Hokkaido pada Mei dan mencuri 200 yen dan tiga botol minuman keras bernilai 10,000 yen.
Bulan berikutnya, mereka didakwa merompak rumah kosong lain dan mencuri barang kemas bernilai kira-kira satu juta yen.
Polis kini sedang menyiasat penglibatan kumpulan tersebut dalam 10 rompakan lain di bandar Sapporo dan Ebetsu.
Pada usia sebegitu ketika kebanyakan orang sibuk menikmati persaraan atau menjaga kesihatan mereka, G3S pula didakwa merancang rompakan. Menurut kenyataan polis, ketiga-tiga bekas tahanan itu telah merancang untuk bekerjasama semasa di penjara dan membuat perancangan teliti.
Hideo Umino melakukan rompakan, sementara Matsuda menjadi pemandu, dan Watanabe bertanggungjawab menjual barang curian. – Agensi