Wednesday, November 20, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis bongkar makmal proses dadah

    BALIK PULAU, 14 OKT – Polis berjaya membongkar kegiatan makmal memproses heroin dengan penahanan seorang penyembelih ayam dan isterinya serta merampas pelbagai dadah bernilai RM81,330 dalam dua serbuan di Gelugor dan Bayan Lepas, di sini Selasa lepas.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, polis menahan pasangan yang sedang menaiki sebuah motosikal itu di tepi jalan di Gelugor pada 8.30 malam bersama 1,810 gram (g) heroin.

    “Susulan penahanan lelaki tempatan berusia 43 tahun dan isterinya warga Thailand berumur 30 tahun itu, polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Bukit, Bayan Lepas dua jam kemudian dan berjaya membongkar kewujudan makmal memproses heroin di situ.

    “Hasil pemeriksaan di rumah sewa tersebut, polis merampas kafein seberat 14,880g, heroin (2,720g), pil yaba (309.54g) dan pelbagai peralatan termasuk dua ketuhar serta bahan kimia untuk memproses dadah tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

    Menurut Soffian, berdasarkan siasatan awal, pasangan itu mempunyai kepakaran memasak heroin yang dipercayai dipelajari daripada rangkaian sindiket pengedaran dadah dan polis kini sedang giat mengesan sindiket itu yang membekalkan bahan mentah dadah kepada mereka untuk siasatan lanjut.

    Soffian berkata siasatan mendapati heroin dihasilkan pasangan itu mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pembeli kerana lebih ‘kuat’ ekoran mereka mencampurkan dadah itu bersama pil yaba.

    Beliau berkata suami isteri itu disyaki aktif menjalankan kegiatan memproses heroin sejak awal Januari lepas dan mereka turut mengedar sendiri dadah tersebut kepada pembeli di sekitar negeri ini. – Bernama

    ACP Soffian Santong menunjukkan antara barang rampasan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda